AirAsia prihatin dan terus sokong Cebu dalam usaha pemulihan dan pembangunan

Kapsyen Foto: Inisiatif ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo, dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Presiden AirAsia Philippines, Kapten Suresh Bangah, di Cebu hari ini semasa sambutan penerbangan pertama Kuala Lumpur – Cebu. Pengurus AirAsia Foundation, Elaine Tan, juga turut hadir bersama ketua pasukan Bike Scouts Cebu, Janreil Amistoso dan Tony Galon.

CEBU, 15 November 2025 – Dalam semangat solidariti Asean dan menyokong negara serantau, AirAsia hari ini melancarkan inisiatif ‘To the Philippines with Love’ bagi menyokong usaha pemulihan susulan bencana alam baru-baru ini, termasuk gempa bumi yang melanda Cebu pada bulan Oktober serta Taufan Tino (Kalmaegi) yang telah menjejaskan kawasan tersebut.

AirAsia akan mendermakan PHP15 bagi setiap tempat duduk yang terjual dari 15 November 2025 hingga 14 Januari 2026 untuk menyokong program bantuan dan pemulihan taufan di peringkat tempatan.

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia, berkata: “Kesalinghubungan sentiasa menjadi elemen yang utama bagi kami dan ia melangkaui bukan hanya penerbangan atau laluan. Sebagai satu keluarga Asean, ianya adalah sangat penting untuk kita terus bersatu untuk saling membantu antara satu sama lain. Kami tetap bersama dengan semua yang terjejas di Filipina, termasuk Allstars yang terlibat. Kami berharap sumbangan AirAsia dapat memberikan harapan dan membantu membangunkan semula perniagaan dan membolehkan penduduk setempat bangkit kembali.”

Sumbangan tersebut akan disalurkan oleh AirAsia Foundation yang merupakan cabang dermawan kumpulan syarikat penerbangan itu dalam menyokong projek bantuan dan pembinaan semula dengan memberi keutamaan kepada infrastruktur komuniti serta latihan dan kesedaran untuk memperkukuh keupayaan komuniti rentan dalam menghadapi bencana.

Yap Mun Ching, Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation, berkata: “Di AirAsia Foundation, salah satu keutamaan utama kami adalah membantu komuniti membina semula dengan lebih kukuh selepas bencana. Apabila fokus beralih daripada bantuan kecemasan kepada pemulihan dalam komuniti ini, kami memanfaatkan rangkaian perusahaan sosial dan rakan kongsi dipercayai untuk menyambungkan sumber dengan komuniti yang memerlukan, menyokong mereka memulihkan kediaman dan mata pencarian, serta memberi impak yang bermakna kepada mereka yang terjejas.”

Antara penerima terkini geran bencana daripada AirAsia Foundation pada tahun 2024 ialah Bike Scouts, sebuah perusahaan sosial yang mempunyai pengalaman lebih daripada satu dekad dalam pengurusan bencana secara langsung di seluruh Filipina, yang menawarkan akses komunikasi kritikal kepada komuniti yang terasing akibat taufan, banjir dan bencana alam lain. Pada tahun 2025, AirAsia Foundation meluluskan geran untuk Arkomjogja, iaitu pelaksana program pemulihan dan pembangunan di Indonesia, bagi mendokumentasikan pengajaran yang diperoleh serta pengetahuan mengenai model pemulihan pasca-bencana yang dipacu komuniti oleh organisasi tersebut.

AirAsia Foundation mempunyai rekod yang kukuh dalam pengendalian kempen pasca-bencana AirAsia di Asean. Sejak penubuhannya pada tahun 2012, yayasan ini telah mengumpul dan menyalurkan lebih daripada USD 4 juta untuk membiayai pengurusan terhadap Taufan Haiyan di Filipina (2013), tsunami Palu (2018), dan banjir di Malaysia (2021) dan lain-lain. AirAsia Foundation juga telah menyalurkan lebih USD 670,000 dalam bentuk geran perusahaan sosial di tujuh negara Asean dalam menyokong usaha yang memberi impak dalam membasmi kemiskinan, mempromosikan mata pencarian lestari dan program kesiapsiagaan komuniti.  

Sumbangan daripada AirAsia adalah inisiatif tambahan kepada sokongan berterusan syarikat penerbangan itu bagi pasca-gempa bumi bagi pihak kerajaan melalui penerbangan bantuan kemanusiaan. Dengan kerjasama pihak berkuasa kerajaan, AirAsia telah membawa pasukan mencari dan menyelamat dari Metropolitan Manila Development Authority (MMDA) serta peralatan menyelamat untuk menyokong misi bantuan kecemasan di Cebu.

Inisiatif prihatin ini dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden AirAsia Philippines, Kapten. Suresh Bangah, semasa majlis meraikan penerbangan pertama AirAsia dari Kuala Lumpur ke Cebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu. Penerbangan ini juga menandakan pelancaran rasmi hab AirAsia di Cebu, memperkukuhkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk memperluas kesalinghubungan di seluruh Filipina dan rantau Asean yang lebih luas.

Perkhidmatan antarabangsa dari Kuala Lumpur dan Macao adalah antara lima laluan baharu dari Filipina ke rangkaian AirAsia yang semakin berkembang, yang kini menghubungkan pengembara ke lebih daripada 160 destinasi di seluruh kumpulan. Laluan domestik baharu dari Cebu ke Davao, Iloilo dan Caticlan turut mengukuhkan lagi kedudukan Cebu sebagai hab strategik, menawarkan para tetamu lebih banyak fleksibiliti dan pilihan bernilai hebat di seluruh rantau ini.

AirAsia kini mengendalikan 202 penerbangan mingguan ke 10 destinasi antarabangsa dari Filipina, membuktikan peranannya sebagai salah satu syarikat penerbangan terkemuka negara itu dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau.