AirAsia rai penerbangan pertama ke Sihanoukville dari Kuala Lumpur

SEPANG, 3 Julai 2024 - AirAsia hari ini meraikan penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sihanoukville bandar pesisiran pantai terkenal di Kemboja dan juga ibu kota Wilayah Sihanoukville, yang dikenali sebagai Kampong Som.

Penerbangan pertama telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 12:10 tengah hari dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville yang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Kang Keng pada jam 1:00 petang waktu tempatan. Para tetamu dalam penerbangan AK 264 diraikan dengan tarian tradisional Khmer sewaktu ketibaan, bersama-sama Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Kemboja dan AirAsia Allstars.

AirAsia kini terbang terus ke Sihanoukville dari Kuala Lumpur dengan tiga penerbangan mingguan. Rangkaian antarabangsa AirAsia yang luas menghubungkan Phnom Penh, Siem Reap, dan Sihanoukville ke lebih daripada 130 destinasi di seluruh Asia dan luar negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Australia, melalui habnya di Kuala Lumpur, Malaysia dan Bangkok, Thailand.