AirAsia rai penerbangan sulung dari Bangkok ke Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 16 Ogos 2018 - AirAsia meraikan penerbangan sulungnya dari Bangkok, Thailand ke Kota Kinabalu, Malaysia pada hari ini.
Laluan unik itu, yang menandakan penerbangan pertama AirAsia Thailand ke Sabah, merupakan bukti komitment AirAsia untuk mengembangkan hab Kota Kinabalu.
Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok pada awal hari ini, dan telah disertai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia YB Tuan Mohamaddin Bin Ketapi. Ia juga draikan dengan pancuran air setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan disambut oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Puan Christina Liew, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Komersial AirAsia Malaysia Spencer Lee.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan penerbangan sulung dari Bangkok ke Kota Kinabalu pada hari ini. Setelah melancarkan penerbangan pertama kami ke Kota Kinabalu pada tahun 2002, dan telah menerbangkan lebih daripada 39 juta orang tetamu dari dan ke bandar ini. Kini, kami menghubungkan Kota Kinabalu ke 18 destinasi di rantau ini dengan 332 penerbangan mingguan. Kami berharap perkhidmatan terus antara Bangkok dan Kota Kinabalu ini akan memberi impak yang lebih positif, bukan hanya kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, tetapi kepada masyarakat di Sabah juga.”
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan Persekutuan dan Negeri kerana menyokong model syarikat penerbangan kos rendah dan melibatkan pihak AirAsia untuk meningkatkan hubungan masuk dan keluar dari Sabah.”
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia YB Tuan Mohamaddin Bin Ketapi berkata, “Kerjasama untuk meningkatkan akses melalui udara ke Malaysia amat dialu-alukan dan saya berbesar hati kerana pihak AirAsia Thailand membuka laluannya ke Sabah. Thailand adalah pasaran penting bagi Malaysia kerana ia berpotensi untuk berkembang kerana mereka juga amat berminat untuk melancong ke Malaysia dan pelbagai produk pelancongan di sini memenuhi keperluan mereka. Sabah sudah pastinya menawarkan banyak tarikan kepada para pelancong Thailand. Selain hutan hujan, pulau dan pantai, Sabah juga merupakan syurga makanan laut. Justeru, saya berharap pemain industri di kedua-dua buah negara ini akan bekerjasama dengan AirAsia Thailand untuk mempromosikan Malaysia dan sebaliknya untuk mengekalkan laluan ini.”
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Puan Christina Liew berkata, “Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami mengalu-alukan penerbangan terus ke Bangkok oleh AirAsia Thailand. KKIA kini dihubungkan ke 21 bandar antarabangsa, dan Bangkok merupakan hab yang sangat penting untuk kami. Ini kerana ia adalah salah satu hab AirAsia yang paling sibuk yang menghubungkan destinasi jarak jauh dari Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, Timur Tengah dan India. Selain menarik para pelancong muda dari Thailand yang juga merupakan penggemar makanan dan pengembara tegar, kami juga yakin dapat menarik perhatian komuniti ekspatriat yang berkhidmat di sana.”
Kumpulan AirAsia kini terbang dari Kota Kinabalu ke 9 destinasi antarabangsa (Bangkok, Singapura, Manila, Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou, Wuhan, dan Taipei) dan 8 destinasi domestik (Kuala Lumpur, Tawau, Sandakan, Miri, Kuching, Kota Bharu dan Johor Bahru). AirAsia juga akan memulakan perkhidmatan laluan Kota Kinabalu - Macao bermula pada bulan November tahun ini.
Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).