AirAsia rai penerbangan sulung dari Kota Kinabalu ke Macao

 Kenyataan Gambar: (Dari kiri) Mandy Huang, Gigi Wong, Dato Dr. Lam Vai Chun, Celia Lao, Cristina Gomes da SILVA, Tan Mei Leng, Hoi Io Meng, Tay Shu Lan, Eric Fong, Lao Kin Sang dan Cindy Du merasmikan penerbangan sulung AirAsia Kota Kinabalu - Macao pada hari ini.

Kenyataan Gambar: (Dari kiri) Mandy Huang, Gigi Wong, Dato Dr. Lam Vai Chun, Celia Lao, Cristina Gomes da SILVA, Tan Mei Leng, Hoi Io Meng, Tay Shu Lan, Eric Fong, Lao Kin Sang dan Cindy Du merasmikan penerbangan sulung AirAsia Kota Kinabalu - Macao pada hari ini.

MACAO, 5 November 2018 - AirAsia hari ini meraikan penerbangan sulung dari Kota Kinabalu ke Macao, menjadikanya satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan ibu negeri Sabah ke  “Pusat Pelancongan dan Riadah Dunia.”

Untuk meraikan majlis itu, sebuah acara sambutan telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macao yang dihadiri oleh Pengarah Pelancongan Malaysia Hong Kong, Tan Mei Leng; Pemangku Pengarah Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao, Hoi Io Meng; Cristina Gomes da Silva, Pengarah Pengangkutan Udara dan Perhubungan Antarabangsa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Macau SAR; Pengurus Pemasaran Kanan Lembaga Pelancongan Sabah, Tay Shu Lan; Pengarah Jabatan Pemasaran Lapangan Terbang Antarabangsa CAM Macau, Eric Fong; Dato Lam Vai Chun; Timbalan Pengurus Besar Nam Kwong Petroleum dan Kimia, Lao Kin Sang; Timbalan Pengurus Besar Syarikat Keselamatan SEMAC, Gigi Wong; Pengarah Kewangan Menzies Macau Airport Services, Cindy Du; Pengurus Besar Air Link Express (Macau) Mandy Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Hong Kong dan Macao Celia Lao.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, “Dengan laluan baharu ini, kami kini terbang ke empat bandar di Pearl River Delta dari hab Kota Kinabalu kami. Bandar-bandar ini juga kini dihubungkan dengan lebih baik menerusi jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao yang baru dibuka, jadi para tetamu kami mempunyai pilihan untuk terbang dari Kota Kinabalu ke Macao dan kembali dari Hong Kong, Shenzhen atau Guangzhou untuk pengalaman meneroka rantau ini sepenuhnya.”

“Kota Kinabalu adalah hab kedua terbesar kami di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan kami akan terus mengembangkan rangkaian kami dari bandar ini. Kami telah melancarkan tiga laluan antarabangsa dari Kota Kinabalu pada tahun ini ke Bangkok, Kunming dan kini ke Macao. Ini akan membantu membawa lebih ramai pelawat ke negeri ini dan juga membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan pelancongan.”

Selain Macao, AirAsia juga beroperasi secara terus dari Kota Kinabalu ke 10 destinasi lain - Bangkok, Singapura, Manila, Taipei, Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou, Wuhan dan Kunming (bermula 30 November 2018) - dan 8 destinasi domestik iaitu Kuala Lumpur, Tawau, Sandakan, Kuching, Miri, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Johor Bahru.

Para tetamu dari Tawau, Sabah dan Kuching, Sarawak juga boleh terbang ke Macao secara lancar  menerusi perkhidmatan Fly-Thru AirAsia dan transit di Kota Kinabalu.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).