AirAsia rai Tahun Baru Cina dengan muatan 100% untuk penerbangan lewat malam dengan tambang tetap
SEPANG, 7 Februari 2024 - AirAsia meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan muatan penumpang 100 peratus untuk penerbangan lewat malam istimewa dengan tambang tetap dari Kuala Lumpur ke Sibu pada hari ini.
Majlis perlepasan penerbangan AirAsia AK9070 diraikan dengan kehadiran YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan dan Datuk Kapten Chester Voo, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2.
Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke berkata: “Saya berbesar hati untuk meraikan penerbangan ini sempena sambutan Tahun Naga pada tahun ini. Kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menawarkan tambang lebih berpatutan semasa musim perayaan. Kami menghargai komitmen AirAsia kerana sentiasa menawarkan tambang lebih nilai kepada para tetamu mereka dengan tambang tetap rendah termasuk penerbangan lewat malam ke Sabah dan Sarawak. Kami mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: “Sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah di Asia, kami komited untuk menawarkan tambang lebih nilai bagi menyatukan para tetamu dengan keluarga mereka terutamanya semasa tempoh perayaan penting ini. Pada tahun ini, kami telah melancarkan 134 penerbangan lewat malam pada tambang tetap antara Semenanjung Malaysia dan tujuh destinasi popular di Sabah dan Sarawak dengan sejumlah 25,000 tempat duduk. Kami berbangga kerana penerbangan ini telah mencatat muatan 100% sempena perayaan akan datang dan membolehkan para tetamu kami pulang ke kampung halaman dengan tambang lebih berpatutan. Kami berharap Tahun Baru Cina ini akan membawa kemakmuran kepada semua.”
Para tetamu yang ingin melakukan perjalanan pada musim perayaan ini digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan aplikasi airasia Superapp yang boleh dilakukan seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki pesawat. Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter tersedia untuk tetamu yang memerlukan keperluan khas.
Pada musim perayaan ini, para tetamu juga dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu perlepasan. Para tetamu hanya dibenarkan untuk membawa hanya dua bagasi kabin dengan berat keseluruhan 7kg dan dinasihatkan untuk menempah bagasi daftar masuk lebih awal sebelum melakukan perjalanan.