AirAsia rai tetamu yang menaiki penerbangan tambahan dengan tambang tetap ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya
SEPANG, 21 April 2023 - AirAsia dan YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan Malaysia bersama-sama meraikan para tetamu yang menaiki penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena Hari Raya ini yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada jam 10.15 malam dan ke Miri, Sarawak pada jam 10.55 malam semalam.
Kedua-dua penerbangan tersebut merekodkan faktor muatan 100% dan para tetamu dalam penerbangan AK9746 ke Tawau dan AK9644 ke Miri diraikan dengan meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Terminal 2). Majlis tersebut turut dihadiri oleh Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited; Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia; dan Mohammad Hafidz, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif airasia Superapp.
Penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena Hari Raya ini telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan pada 7 Mac 2023. Ia menawarkan sejumlah 22,464 tempat duduk tambahan dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke 11 destinasi di Sabah dan Sarawak dengan tambang RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah termasuk semua* sehala.
Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke berkata: “Kami berbesar hati dapat memudahkan perjalanan balik kampung rakyat Malaysia melalui penerbangan tambang tetap AirAsia yang dilancarkan pada bulan lepas, yang membolehkan lebih 20,000 rakyat Malaysia termasuk penumpang yang saya hantar malam ini, terbang pulang dengan tambang tetap RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah.
“Kementerian telah bekerjasama secara proaktif dengan pihak berkepentingan sejak awal bulan Mac serta menggalakkan dan memudahkan penerbangan tambahan, menjadikan penerbangan tambahan meningkat sebanyak 43% berbanding tahun lepas. Saya berbesar hati kerana semua syarikat penerbangan utama termasuk AirAsia telah bekerjasama dalam memaksimumkan kapasiti mereka yang telah banyak ditempah oleh orang ramai.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Kami teruja untuk menghantar penerbangan penuh ke Sabah dan Sarawak pada malam ini sebagai sebahagian daripada penerbangan istimewa pada tambang tetap, yang telah dilancarkan untuk menyatukan semula para tetamu bersama-sama orang tersayang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Walaupun kami mengalami kekangan pesawat dan operasi terhad berikutan pengembangan rangkaian kami, kami telah bekerja keras untuk memastikan penerbangan tambang tetap tambahan beroperasi untuk musim perayaan ini. Selain itu, walaupun kekerapan penerbangan setanding dengan tahun lepas, purata tambang penerbangan biasa sepanjang tempoh Hari Raya tahun ini adalah 10% lebih rendah berbanding pada tahun 2022 pada RM160 sehala. Sekitar 2,400 tempat duduk masih tersedia pada tambang tetap pada tarikh terpilih sehingga 30 April untuk penerbangan pulang, dan kami berharap ramai orang akan mengambil peluang ini untuk terbang pulang dengan lebih nilai.
“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi dan kerja keras Allstars kami yang bertugas di darat dan udara, dan bagi mereka yang bekerja pada musim perayaan ini, terima kasih atas dedikasi anda. Buat para tetamu kami, terima kasih kerana memilih AirAsia. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.”
Para tetamu yang melakukan perjalanan dalam tempoh Hari Raya Aidilfitri ini dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan (untuk perjalanan domestik) bagi mengelakkan kesesakan yang dijangkakan. Para tetamu juga amat digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan airasia Superapp, yang tersedia seawal 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan.
Bagi tetamu yang mempunyai bagasi untuk mendaftar masuk, kaunter daftar masuk bagasi kendiri ditutup 60 minit sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk semua penerbangan AirAsia. Memandangkan kesesakan dijangka berlaku pada imbasan keselamatan, daftar masuk bagasi dan pusat pemeriksaan imigresen, para tetamu dinasihatkan untuk menyelesaikan daftar masuk bagasi kendiri dan teruskan ke pintu masuk seawal mungkin. Untuk nasihat perjalanan penuh, sila rujuk di sini.
*Promosi tambang tetap adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai dan yuran berkenaan dan hanya untuk penerbangan tambahan mengikut nombor penerbangan tertentu sahaja. Tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.