AirAsia sambung semula penerbangan ke laluan popular Kuala Lumpur-Yangon
Penerbangan Kuala Lumpur-Yangon kini tersedia untuk tempahan bermula sekarang sehingga 12 Jun 2022 dengan tambang daripada serendah RM189 sehala
SEPANG, 3 Jun 2022 - AirAsia hari ini meraikan penyambungan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke ibu negara Myanmar serta bandar terbesar negara itu, Yangon selepas dua tahun.
Penerbangan AK 504 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) berlepas pada jam 6.45 pagi hari ini dan mendarat di Yangon pada jam 7.55 pagi (waktu tempatan) dengan membawa penumpang seramai 136 orang. Bagi penerbangan pulang pula, pesawat AK 505 berlepas dari Yangon pada jam 8.25 pagi (waktu tempatan) hari ini dan mendarat semula di Kuala Lumpur pada jam 12.40 tengah hari (waktu tempatan).
Bandar Yangon yang indah, dahulunya dikenali sebagai Rangoon, terkenal kerana memiliki batu permata berharga dan lombong permata yang paling dikehendaki di dunia, selain seni bina kolonial British yang indah dan binaan pagoda yang ikonik.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati untuk meraikan penyambungan semula penerbangan ke Yangon iaitu salah satu laluan AirAsia paling popular di rantau Asean selepas dua tahun tanpa penerbangan ke negara itu. AirAsia telah menghubungkan kedua-dua pelancong tempatan dan antarabangsa ke Myanmar sejak 2018 dan ia merupakan salah satu destinasi yang paling popular sebelum ini. Berikutan sekatan perjalanan yang telah dilonggarkan secara berperingkat serta keadaan mula kembali ke fasa pra-pandemik, kami teruja untuk sekali lagi menghubungkan para tetamu ke Yangon dan ke seluruh rantau ini.
“Kami bersedia untuk memastikan para tetamu dapat melakukan perjalanan dengan selamat melalui penyediaan langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat termasuklah menggalakkan para tetamu untuk menggunakan ciri daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, penyediaan sistem pengecaman wajah FACES dan banyak lagi. Kami ingin mengingatkan para tetamu untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan semasa melakukan perjalanan mereka.”
Bagi meraikan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan ke Myanmar, AirAsia akan beroperasi penerbangan pergi balik untuk dua kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Yangon setiap hari Isnin dan Jumaat dengan tambang penerbangan bernilai terbaik.
Jadual Penerbangan Kuala Lumpur → Yangon
Mulai hari ini sehingga 12 Jun 2022, para tetamu boleh mula membuat tempahan penerbangan ke Yangon daripada RM189 sehala, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai dan 8 Disember 2022 dengan menekan pada ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App. Tetamu yang ingin melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur boleh menempah penerbangan mereka dari Yangon daripada USD79 sehala untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai dan 8 Disember 2022 untuk tempahan penerbangan mulai sekarang sehingga 12 Jun 2022.
Untuk kemasukan ke Malaysia, semua pengembara antarabangsa diwajibkan untuk memuat turun serta mengaktifkan aplikasi MySejahtera, melengkapkan borang pra-perlepasan melalui ikon “Traveller” pada aplikasi tersebut dan mengesahkan sijil vaksinasi COVID-19 digital mereka melalui “MySafe Travel”. Untuk kemasukan ke Myanmar, hanya pengembara yang telah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan untuk menaiki penerbangan komersial yang telah dijadualkan. Para pengembara juga dikehendaki untuk melakukan saringan COVID-19 sebelum berlepas dan selepas ketibaan dan mengisi Borang Deklarasi Kesihatan semasa ketibaan. Jika keputusan ujian adalah negatif, para pengembara dibenarkan untuk meneruskan aktiviti mereka di negara itu tanpa kuarantin. Semua pengembara (kecuali warga Myanmar) diwajibkan untuk memiliki insurans COVID-19 daripada Myanma Insurance. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.
AirAsia akan terus mengembangkan perkhidmatan antarabangsanya selaras dengan permintaan yang kukuh. Selain Myanmar, AirAsia telah menyambung semula perkhidmatan penerbangan antarabangsanya dari Kuala Lumpur ke rantau Asia serta merentasi Asean, termasuklah ke Kemboja, India, Thailand dan banyak lagi.
Ikuti perkembangan terkini perkhidmatan e-dagang airasia Super App dengan mengikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook!
*** TAMAT ***