AirAsia sasar terbangkan lebih dua juta tetamu ke Sabah pada tahun 2024 untuk menyokong sasaran negeri mencapai tiga juta pelancong
KOTA KINABALU, 19 Oktober 2024 – Sebagai syarikat penerbangan terbesar yang beroperasi di Sabah, AirAsia terus komited untuk menyokong sasaran negeri ini mencapai tiga juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun ini.
Dengan rangkaian laluan domestik dan antarabangsa yang semakin berkembang, AirAsia terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan sektor pelancongan Sabah dan memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Asean. AirAsia kini mengendalikan 11 laluan domestik dan 18 laluan antarabangsa dari Kota Kinabalu, memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menikmati pelbagai tarikan yang terdapat di Sabah.
Selari dengan pertumbuhan pelancongan negeri, AirAsia meningkatkan lagi sumbangannya dengan menganjurkan AirAsia Travel Fair di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu mulai hari ini, 19 hingga 20 Oktober 2024. Pameran pelancongan ini menawarkan diskaun hebat sehingga 25 peratus untuk tempahan penerbangan dan 50 peratus untuk bagasi daftar masuk, menawarkan peluang kepada rakyat Sabah dan pelancong antarabangsa untuk meneroka destinasi domestik dan antarabangsa dengan tambang berpatutan. Istimewa unutk tetamu yang menempah perjalanan antara Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), AirAsia turut menawarkan pakej AirAsia Plus dengan tambang termasuk semua bermula daripada RM159 sehala untuk perjalanan lebih lancar.
Dato' Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: "Seiring dengan peningkatan kedatangan pelancong ke negeri Sabah, AirAsia berbangga untuk menyokong matlamat pelancongan negeri ini dan memainkan peranan penting dalam sasarannya mencapai tiga juta ketibaan pelancong pada tahun ini. Rangkaian laluan kami yang luas dan pameran pelancongan eksklusif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memudahkan akses ke Sabah bagi pelancong dari seluruh dunia, serta menawarkan peluang kepada rakyat Sabah untuk meneroka destinasi intra-Sabah dan destinasi baharu.
"Peranan AirAsia dalam menyokong pelancongan Sabah bukan sahaja tertumpu kepada menghubungkan rakyat Sabah ke rantau ini, malah membawa masuk aliran pelancong berterusan dari seluruh dunia dan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dalam bidang berkaitan dan lain-lain. Kami telah menerbangkan hampir dua juta tetamu ke Sabah sejak bulan Januari 2024 dari lima destinasi antarabangsa utama seperti Hong Kong, Singapura, Taipei, Guangzhou, dan Hangzhou. Ini bukan sahaja menyumbang kepada angka pelancongan yang memberangsangkan di negeri ini, tetapi juga membantu merangsang ekonomi tempatan melalui peningkatan perbelanjaan pelancong dari segi penginapan, makanan dan aktiviti berkaitan pelancongan.
"AirAsia bersedia untuk menyokong pertumbuhan ketibaan pelancong di negeri Sabah yang dijangka akan melebihi dua juta dan berusaha untuk mencapai tiga juta menjelang akhir tahun ini. Dengan rangkaian yang tiada tandingan serta komitmen untuk menawarkan pilihan perjalanan bernilai hebat, kami berbesar hati untuk kekal sebagai rakan kongsi penting dalam perjalanan pelancongan Sabah untuk membantu memperkukuh reputasinya sebagai salah satu destinasi terbaik di Asean."
AirAsia telah memperluas rangkaian sambungannya melalui laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Subang, Manado, Kaohsiung, Bandar Ho Chi Minh, Kunming dan Shantou dengan lebih banyak destinasi menarik pada masa akan datang. Selain perkhidmatan terus ini, rangkaian Fly-Thru AirAsia juga turut menawarkan sambungan ke lebih daripada 130 destinasi, termasuk destinasi popular seperti Melbourne, Tokyo dan Bangkok.