AirAsia sasar terbangkan lima juta tetamu ke Sabah pada tahun 2025

Syarikat penerbangan ini juga menyeru kerjasama lebih erat dengan pengendali hotel dan pelancongan untuk memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan global

KOTA KINABALU, 14 Januari 2025 - AirAsia sasar untuk menerbangkan lima juta tetamu ke negeri Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau pada tahun 2025, hampir dua kali ganda daripada 3.7 juta ketibaan yang direkodkan pada tahun 2024. Sasaran pertumbuhan ini merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagi mencapai matlamat ini, rancangan pengembangan AirAsia bagi tahun 2025 merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 27 laluan, termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah. Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun.

Pada tahun 2024, AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan pelancongan negeri.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ekosistem pelancongan negeri, syarikat penerbangan ini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah untuk mengeratkan kerjasama dan menyelaraskan usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama seperti penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses, serta meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan negeri.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group berkata: “Sabah adalah pasaran penting dalam rangkaian AirAsia dan kami berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama. Sasaran kami untuk tahun 2025 adalah untuk menerbangkan lima juta tetamu dan komitmen ini disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar. Dengan peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif-inisiatif ini berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong.

“Pertumbuhan kami di Sabah tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang telah kami bina bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan-rakan industri. Untuk mengekalkan momentum ini, kami menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan penggiat pelancongan. Dengan melabur dalam promosi bersama dan menyokong laluan strategik, kita dapat mempertingkatkan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan untuk Sabah dan mengekalkan trajektori pertumbuhan berterusan.

“Melengkapkan usaha ini, AirAsia juga akan mambuat pelaburan bersasar dengan menawarkan perkhidmatan Fly-Thru dan memperluaskan laluan utama di pasaran penting seperti Vietnam, India, Indonesia, dan Kazakhstan. Inisiatif-inisiatif ini turut diperkukuh dengan kempen berterusan terhadap pelancong dari China, Hong Kong, dan Singapura. Bersama-sama rakan kongsi kami, kami berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi global yang berkembang maju, memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan bertaraf dunia.”

Julinus Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah berkata: "Rangkaian luas AirAsia dan pelaburan yang berterusan telah memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa. Kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini bagi mempertingkatkan tawaran negeri ini dan memastikan bahawa semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada daripada inisiatif-inisiatif AirAsia."

Pada tahun 2024, AirAsia dan STB memeterai kerjasama strategik selama lima tahun untuk meningkatkan industri pelancongan negeri ini dengan memperluaskan rangkaian udara di seluruh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan memperkembang rangkaian ke ASEAN, Asia Utara, dan Oceania dari tahun 2024 hingga 2028.