AirAsia satu-satunya syarikat penerbangan hubungkan seluruh negara Asean dengan penyambungan semula laluan Kuala Lumpur-Vientiane

SEPANG, 26 Mac 2024 - AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) berbesar hati untuk mengumumkan penyambungan semula laluan Kuala Lumpur-Vientiane yang akan bermula pada 2 Julai 2024. Ini menandakan pencapaian penting bagi AirAsia Malaysia yang menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan secara terus ke semua 10 negara Asean.

Rangkaian luas AirAsia di seluruh rantau Asean yang juga mempunyai kira-kira 800 juta penduduk, bukan sahaja menghubungkan antara satu sama lain malah memacu pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya melalui pelancongan. Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asean mengikut jumlah penumpang, AirAsia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di rantau ini yang menyumbang kepada peluang pekerjaan, meningkatkan perbelanjaan pelancong dan memberi faedah kepada sektor lain.

Penyambungan semula dua penerbangan mingguan ke Vientiane, Laos dijangka akan terus menyumbang kepada kesalinghubungan dan ekonomi serantau, sejajar dengan matlamat kerajaan Laos untuk  menarik 2.7 juta pelancong asing pada tahun 2024. Pada tahun 2019, AirAsia telah menerbangkan hampir 50,000 tetamu antara Kuala Lumpur dan Vientiane sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan utama bagi laluan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: "Asean merupakan pasaran di mana kami mempunyai jenama yang paling kukuh. Justeru, kami berbangga untuk menjadi syarikat penerbangan Asean dengan penyambungan semula laluan ini. Kami terus komited untuk membangunkan Asean dan telah melancarkan syarikat penerbangan di lima buah negara yang menghubungkan rantau ini ke 130 destinasi.

"Kami bukan sekadar memudahkan perjalanan untuk jutaan penduduk Asean malah memberi sumbangan besar kepada sektor ekonomi di negara-negara ini. AirAsia terus berusaha untuk menawarkan perkhidmatan kepada seluruh penduduk di rantau ini melalui rangkaian kami yang kini lengkap ke 10 negara Asean. Ini merupakan langkah penting untuk mengembangkan rangkaian dan mengeratkan lagi hubungan rantau ini.

"Sebagai sebuah syarikat penerbangan Asean, kami akan terus menyokong integrasi melalui Dasar Langit Terbuka ASEAN untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan domestik, selain meningkatkan peluang perniagaan di rantau Asean melalui pembukaan perjalanan udara di bawah pasaran pengangkutan udara tunggal.”

Bagi meraikan pengumuman ini, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Vientiane kini tersedia untuk ditempah mulai hari ini hingga 7 April 2024 dengan tambang daripada RM99 termasuk semua* sehala dan dari Vientiane ke Kuala Lumpur dengan tambang daripada USD 39 termasuk semua* sehala untuk tempoh perjalanan antara 2 Julai 2024 dan 30 November 2024. Tambang promosi ini boleh ditempah di airasia.com dan AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp).

Vientiane merupakan sebuah bandar yang terletak di tebing sungai Mekong yang kaya dengan budaya. Ia menawarkan gabungan sejarah dan moden dengan pelbagai tarikan seperti Wat Si Saket, kuil bersejarah yang terkenal dengan seni bina unik dan Pha That Luang, monumen Buddha emas yang dianggap sebagai monumen kebangsaan yang paling penting di Laos. Pengunjung juga boleh meneroka pasar pagi bagi mendapatkan barangan tradisional, kain sutera dan hasil tani segar. Selain itu, terdapat juga mercu tanda yang menarik iaitu Monumen Kemenangan Patuxai, yang mempamerkan simbol kemerdekaan Laos.

Jadual penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Vientiane (VTE):

*Tambang promosi termasuk semua adalah termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Bergantung kepada kelulusan kerajaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.