AirAsia tambah lebih 5 juta kapasiti untuk penerbangan antara China, India dan Malaysia pada tahun 2024
AirAsia komited untuk menambah kapasiti bagi menyokong pengumuman kemasukan tanpa visa oleh kerajaan Malaysia untuk pelancong dari China dan India
SEPANG, 27 November 2023 - AirAsia hari ini mengumumkan peningkatan kapasiti untuk perkhidmatan antara China-Malaysia and India-Malaysia, sejumlah 230 penerbangan mingguan bermula pada suku pertama tahun 2024 seterusnya menyediakan sehingga 5.2 juta tempat duduk setahun.
Peningkatan ketara kapasiti melalui penerbangan AirAsia Malaysia (kod syarikat penerbangan AK) dan AirAsia X Malaysia (kod syarikat penerbangan D7) ini merupakan sokongan kepada jangkaan lonjakan permintaan perjalanan berikutan pengumuman kerajaan Malaysia mengenai kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember 2023. Pengumuman itu juga bertepatan dengan pengumuman pelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat Malaysia ke China baru-baru ini, dari 1 Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Ini adalah berita yang dinanti-nantikan bukan sahaja untuk AirAsia tetapi untuk rakyat di seluruh negara. Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk inisiatif yang memfokuskan kepada rancangan masa hadapan negara. Kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India pasti akan memberi rangsangan yang dialu-alukan untuk sektor pelancongan dan ekonomi di Malaysia menjelang musim kemuncak perjalanan akan datang sambil meningkatkan hubungan ekonomi antara negara-negara besar ini. Sebagai antara pemain utama dalam sektor penerbangan, kami bersedia untuk menambah kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan udara yang berpatutan untuk semua di rantau ini.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam menambah: “Kami melihat pengumuman ini bukan sahaja sebagai peluang untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam dua pasaran terbesar kami, malah sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara. Dengan anggaran 4.6 juta tetamu dijangka melakukan perjalanan melalui rangkaian luas kami yang terdiri daripada 26 laluan di China dan India pada tahun 2024 sahaja, kami bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kemasukan pelancong di Malaysia iaitu sebanyak 25 juta pelancong antarabangsa pada setiap tahun.”
Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, kedua-dua AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7) terbang ke 17 laluan ke negara ini dengan jumlah 156 penerbangan mingguan. AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7) terbang dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Quanzhou, Kunming, Guilin), Nanning, Shantou, Shenzhen, Chengdu, Beijing, Hangzhou dan Shanghai. AirAsia Malaysia (AK) juga terbang dari Kota Kinabalu ke Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen, Beijing dan Wuhan, serta dari Johor Bahru ke Guangzhou.
Kedua-dua syarikat penerbangan tersebut juga telah meningkatkan kekerapan kepada sembilan laluan ke India dengan jumlah 74 penerbangan mingguan. AirAsia Malaysia (AK) terbang dari Kuala Lumpur ke Bengaluru, Kolkata, Cochin, Hyderabad, Chennai, Trichy, dan Trivandrum - destinasi baharu bermula pada Februari 2024. AirAsia X Malaysia (D7) terbang dari Kuala Lumpur ke New Delhi dan Amritsar.
Baru-baru ini, Kedutaan China di Malaysia turut mengumumkan bahawa warganegara Malaysia yang memegang pasport biasa boleh memasuki China untuk tujuan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan transit tanpa visa sehingga 15 hari bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.