AirAsia tawar tambang berpatutan kepada para pelajar melalui program FLYsiswa
SHAH ALAM, 12 Disember 2024 – AirAsia terus komited untuk menawarkan tambang berpatutan kepada para pelajar melalui program FLYsiswa, yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Melalui inisiatif ini, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 52 laluan antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak, sekaligus menegaskan komitmennya untuk menyediakan penerbangan dengan tambang berpatutan kepada para pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman.
E-baucar AirAsia untuk program FLYsiswa boleh digunakan untuk tempahan penerbangan ke 12 destinasi antara Semenanjung Malaysia dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Malaysia Timur ke Kota Kinabalu, Kuching, Tawau, Bintulu, Miri, Sibu, Sandakan, dan Labuan. Inisiatif ini juga terpakai untuk penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Labuan.
Datuk Captain Chester Voo, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group berkata: “Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami berbangga untuk terus menyokong inisiatif kerajaan melalui penerbangan dengan tambang berpatutan untuk memberi peluang kepada para pelajar terbang pulang ke kampung halaman. Pada tahun ini, kami menerima hampir 21,000 permohonan daripada pelajar yang sah di universiti awam di seluruh negara, dan hampir 80 peratus telah berjaya menebus baucar bersama AirAsia. Kami berbangga kerana AirAsia terus menjadi syarikat penerbangan pilihan untuk perjalanan di rantau ini, khususnya dalam kalangan pelajar.
"Susulan pengumuman kerajaan pada hari ini untuk meningkatkan subsidi kepada RM400 bermula 1 Januari 2025, kami akan terus komited untuk membantu para pelajar pulang ke kampung halaman mereka dengan tambang berpatutan serta rangkaian domestik kami yang luas."
Kriteria kelayakan bagi program FLYsiswa ini ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Program ini terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di universiti awam di Malaysia. Kelayakan termasuk pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan yang belajar di Semenanjung Malaysia; pelajar dari Semenanjung Malaysia yang belajar di Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan; serta pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan yang sedang belajar di wilayah masing-masing.
Proses permohonan e-baucar AirAsia boleh dilakukan melalui beberapa langkah mudah dengan menekan butang 'Tebus Sekarang' di airasia.com/aa/flysiswa, dan tempoh permohonan ini telah dilanjutkan sehingga 22 Disember pada tahun ini. Untuk proses penebusan, hanya masukkan nombor baucar pada halaman pembayaran.
Proses penebusan baucar RM400 akan bermula tahun depan dan boleh dilakukan di sini. Tertakluk kepada terma dan syarat.