AirAsia terus menyokong inisiatif FLYsiswa untuk menawarkan tambang penerbangan berpatutan kepada pelajar

SEPANG, 10 Mei 2024 - AirAsia berbangga untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa yang menawarkan subsidi untuk tiket penerbangan domestik bagi pelajar universiti awam. Komitmen ini selari dengan pelaksanaan semula inisiatif tersebut oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Dengan pengembangan pesat laluan AirAsia pada tahun ini termasuk laluan antara Pulau Pinang dan Kuching serta Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pada bulan Mac, para pelajar kini mempunyai akses ke 47 laluan di seluruh rangkaian domestik syarikat penerbangan ini. Rangkaian luas ini menghubungkan Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, serta intra Sabah, Sarawak dan Labuan.

Proses permohonan e-baucar AirAsia boleh dibuat dengan beberapa langkah mudah dengan menekan butang 'Tebus Sekarang' di airasia.com/aa/flysiswa. Untuk proses penebusan, hanya masukkan nombor baucar pada halaman pembayaran untuk tempahan penerbangan.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Paul Caroll berkata: “Kami berbesar hati untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa oleh kerajaan pada tahun ini. Pada tahun 2023, kami telah menerbangkan lebih 90 peratus daripada 24,730 pelajar ke kampung halaman mereka. Sejajar dengan slogan “Kini Sesiapapun Boleh Terbang” kami memahami kepentingan sambungan rangkaian dengan tambang berpatutan terutamanya bagi para pelajar dan berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam memudahkan perjalanan mereka."

Inisiatif ini hanya tersedia untuk semua pelajar pendidikan tinggi di universiti awam di Malaysia, termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Para pelajar digalakkan untuk memeriksa kelayakan mereka berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Semua pelajar yang layak berhak menerima baucar bernilai RM300. Pelajar yang tidak memenuhi kriteria boleh membuat rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi masing-masing. Baucar RM300 akan berfungsi sebagai kredit* yang boleh digunakan untuk penebusan sehingga nilai subsidi tersebut habis digunakan sepenuhnya.

Inisiatif FLYsiswa kini dibuka untuk permohonan sehingga 30 November 2024. Para pelajar boleh menggunakan baucar mereka serta-merta selepas penebusan berjaya sehingga 31 Disember 2024 dengan tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2025.

*Jika tiket penerbangan dibeli dengan tambang yang lebih rendah daripada RM300, baki baucar tersebut akan disimpan sebagai kredit untuk pembelian masa hadapan.