AirAsia tingkatkan penerbangan ke China berikutan lonjakan permintaan perjalanan
AirAsia Malaysia (AK) bakal memulakan semula laluan Kota Kinabalu-Hangzhou pada 2 September
AirAsia X Malaysia (D7) akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing (Daxing) kepada lima penerbangan mingguan pada 1 September; ke Shanghai kepada tujuh penerbangan mingguan pada 15 September; ke Hangzhou kepada empat penerbangan mingguan pada 30 September
SEPANG, 31 July 2023 - AirAsia bakal meningkatkan penerbangan antara Malaysia dan China berikutan lonjakan permintaan perjalanan antara kedua-dua buah negara dan syarikat penerbangan itu menjangka permintaan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
Purata jumlah tetamu yang dibawa dalam setiap penerbangan (faktor muatan) untuk kedua-dua penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7) ke/dari China ialah kira-kira 80 peratus pada bulan Julai. Beberapa laluan berprestasi kukuh seperti Kuala Lumpur-Shanghai, Kota Kinabalu-Guangzhou, Kuala Lumpur-Nanning dan Kota Kinabalu-Wuhan turut mencatatkan faktor muatan sehingga 95 peratus dalam beberapa bulan akan datang.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu jugal telah menjual lebih 320,000 tempat duduk antara China dan Malaysia dari bulan Mac hingga awal bulan Julai pada tahun ini, iaitu kira-kira 30 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 sebelum pandemik melanda. Kira-kira 75 peratus tempat duduk yang terjual ditempah oleh warganegara China yang jelas menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong dari China.
Berdasarkan permintaan semasa dan ramalan yang kukuh, AirAsia Malaysia (AK) akan menyambung semula laluan dari Kota Kinabalu ke Hangzhou bermula dengan tiga penerbangan mingguan mulai 2 September 2023. Sementara itu, AirAsia X Malaysia (D7) akan meningkatkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Beijing (Daxing) daripada empat kepada lima penerbangan mingguan bermula 1 September, dari Kuala Lumpur ke Shanghai daripada empat kepada tujuh penerbangan mingguan bermula 15 September, dan dari Kuala Lumpur ke Hangzhou daripada tiga kepada empat penerbangan mingguan mulai 30 September tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Kami adalah syarikat penerbangan yang mengoptimumkan operasi berdasarkan permintaan. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menyaksikan peningkatan permintaan perjalanan antara Malaysia dan China ini. Penyambungan semula penerbangan dari Kota Kinabalu ke Hangzhou adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menghubungkan bandar-bandar kedua ke dunia supaya kami dapat menyediakan perkhidmatan kepada semua. Kami juga merancang untuk meningkatkan kekerapan laluan ini kepada tujuh penerbangan mingguan bermula bulan Oktober berdasarkan permintaan. Kesalinghubungan yang dipertingkatkan bukan sahaja akan meningkatkan ketibaan pelancong bernilai tinggi ke Malaysia malah memberikan sokongan penting kepada permintaan perjalanan domestik di Malaysia. Kami berharap untuk mengembangkan rangkaian dan kekerapan antara Malaysia dan China dari hab lain pada masa hadapan.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata: “Memandangkan permintaan perjalanan ke China kekal kukuh di seluruh rangkaian kami untuk perjalanan jarak sederhana, kami berbesar hati untuk menambah lebih banyak kekerapan penerbangan bagi memenuhi peningkatan permintaan. Terutama sekali untuk beberapa buah destinasi China kami yang paling popular seperti Beijing (Daxing), Shanghai, dan Hangzhou. Selain memupuk hubungan, mempertingkatkan perdagangan, serta memacu pelancongan dan pelaburan antara kedua-dua buah negara, peningkatan kekerapan penerbangan kami juga akan mengoptimumkan kecekapan penggunaan pesawat AAX. Ini bermakna kami bukan sahaja boleh mengurangkan tambang dan menjimatkan masa para tetamu, malah menawarkan lebih banyak masa untuk meneroka dan memanfaatkan sepenuhnya perjalanan mereka.”
Dalam pada AirAsia terus mengembangkan laluan dan kekerapan penerbangan antara Malaysia dan China, syarikat penerbangan itu juga melancarkan tambang promosi ke semua destinasi di Asia Utara termasuk ke Guilin, Guangzhou, Nanning, Shantou, Beijing, Shanghai dan banyak lagi bermula daripada RM319 termasuk semua sehala. Para tetamu juga boleh terbang ke negara Asia Utara yang lain seperti Hong Kong, Macau, Taipei, Busan, Sapporo dan banyak lagi daripada RM339 termasuk semua sehala. Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia Superapp dan laman web bermula hari ini hingga 6 Ogos 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Sep 2023 dan 31 Mac 2024.
AirAsia Malaysia (AK) kini terbang ke 14 laluan ke/dari China dengan 104 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Guilin, Quanzhou, Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Nanning, Shantou dan Macau; Kota Kinabalu ke Guangzhou, Shenzhen, Wuhan, Beijing dan Macau; dan Johor Bahru ke Guangzhou.
AirAsia X Malaysia (D7) pula terbang ke empat laluan ke/dari China dengan 22 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Chengdu (Tianfu), Beijing (Daxing), Shanghai dan Hangzhou.