AirAsia ungguli kategori syarikat penerbangan tambang rendah di World Travel Awards 2023
AirAsia menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ke-11 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ke-7 berturut-turut
AirAsia X memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia dalam pencalonan pertamanya
DUBAI, 2 Disember 2023 - AirAsia melabuhkan tirai pada tahun ini dengan dengan mengungguli kategori Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia di anugerah World Travel Awards (WTA) Grand Final 2023. AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ke-11 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut.
AirAsia X (AAX) juga turut mencatat kejayaan dengan merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia dalam pencalonan pertamanya. Ini sekaligus membuktikan kejayaan pemulihan dan pertumbuhan berterusan oleh AAX selepas menggantung operasinya selama dua tahun dalam tempoh pandemik.
AirAsia diiktiraf sebagai pemenang dalam kategori syarikat penerbangan tambang rendah mengatasi 15 syarikat penerbangan lain selepas memperoleh undian tertinggi daripada pemain industri, pengguna dan pengembara profesional dari seluruh dunia. Anugerah ini selari dengan kejayaan pada bulan September lalu di mana AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di majlis anugerah World Travel Awards Asia dan Oceania.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata: “Sempena ulang tahun AirAsia ke-22 pada bulan ini sebagai syarikat penerbangan yang telah mendemokrasikan perjalanan udara di seluruh rantau ini, anugerah-anugerah ini melambangkan dedikasi dan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan untuk menghubungkan para tetamu dengan tambang terbaik. Pencapaian ini juga adalah bukti usaha Allstars yang sentiasa memastikan para tetamu kami menikmati pengalaman perjalanan lancar bersama-sama AirAsia. Kami memahami tanggungjawab sebagai pemain industri terkemuka adalah lebih besar dan kami berazam untuk terus meningkatkan perkhidmatan, meluaskan rangkaian, dan memacu inovasi supaya kami dapat menyediakan pengalaman perjalanan lebih baik pada tahun 2024 dan seterusnya."
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Tahun ini menandakan tempoh yang gemilang bagi AAX dalam tempoh 16 tahun kami beroperasi. Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan para tetamu setia yang telah memilih untuk terbang bersama-sama AAX ke destinasi jarak sederhana dan jauh mereka. Anugerah ini adalah adalah bukti kejayaan AAX sejak kami kembali beroperasi pada bulan Mac 2022 selepas pandemik dan merupakan hasil kerja keras dan dedikasi seluruh pasukan AAX. Kami yakin dan berazam untuk terus menghubungkan para tetamu dengan destinasi jarak sederhana dan jauh terkemuka dengan nilai hebat pada tahun-tahun akan datang.”
World Travel Awards ditubuhkan pada tahun 1993 dan merupakan antara program anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama yang mengiktiraf kecemerlangan penyedia perkhidmatan dalam sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.