AirAsia X (Kumpulan AirAsia) cipta sejarah dengan tempahan 150 pesawat Airbus A220, bersama pilihan tambahan sehingga 150, syarikat pertama dengan konfigurasi baharu 160 tempat duduk

Keterangan Gambar: (Dari kiri) Lars Wagner, Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Airbus; Christine Fréchette, Premier Quebec; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia X; TYT Mark Carney, Perdana Menteri Kanada; dan Mélanie Joly, Menteri Industri serta Menteri Pembangunan Ekonomi Kanada untuk Wilayah Quebec, pada majlis di fasiliti Airbus di Mirabel, Kanada.

  • Strategi pesawat kini lengkap untuk membina syarikat penerbangan tambang rendah global pertama berasaskan pesawat badan sempit

  • Penghentian secara strategik pesawat A330 ke arah model operasi pesawat badan sempit dengan kadar penggunaan tinggi

  • Pengoperasian pesawat A220-300 bagi memperluaskan hubungan ke pasaran berpotensi tinggi dengan permintaan khusus serta meningkatkan kekerapan penerbangan di laluan utama sedia ada, sekali gus menawarkan fleksibiliti jadual terbaik kepada para tetamu

  • Persediaan masa hadapan menerusi A220-500 sebagai pengganti pesawat A320 dengan kapasiti setanding melebihi 180 tempat duduk

  • Memanfaatkan A321neo, A321LR dan A321XLR untuk hubungan global yang lebih efisien menerusi teknologi pesawat badan sempit jarak jauh

Mirabel, Kanada, 6 Mei 2026 – AirAsia X Berhad (AAX / Kumpulan AirAsia*) mencipta pencapaian bersejarah dalam pengembangan pesawat dengan memeterai perjanjian muktamad bersama Airbus bernilai kira-kira USD19 bilion pada harga senarai bagi 150 pesawat Airbus A220-300. Perjanjian ini turut menawarkan keupayaan penyesuaian strategik untuk meningkatkan komitmen sehingga 300 pesawat dalam keluarga Airbus A220 bagi memenuhi permintaan masa hadapan. Tempahan bersejarah ini merupakan yang terbesar pernah direkodkan bagi pesawat A220 oleh mana-mana syarikat penerbangan di dunia, sekali gus menandakan perubahan strategik penting dalam hala tuju pesawat AirAsia. Langkah ini memperkukuh fokus syarikat terhadap kecekapan operasi serta daya tahan keuntungan dalam persekitaran pasaran global yang sentiasa berubah.

Tempahan tersebut diumumkan secara rasmi dalam satu majlis di fasiliti Airbus di Mirabel, Kanada, yang dihadiri oleh Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia Group, serta Lars Wagner, Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Pesawat Komersial. Majlis itu turut berlangsung dengan kehadiran TYT Mark Carney, Perdana Menteri Kanada dan  Christine Fréchette, Premier Quebec.

Dengan tempahan ini, AirAsia mencipta sejarah sebagai syarikat pertama yang akan mengoperasikan pesawat dengan konfigurasi baharu 160 tempat duduk. Model ini bakal menjadi pemacu kecekapan generasi baharu Kumpulan dengan kapasiti yang sesuai untuk mengoptimumkan margin di laluan permintaan sederhana. A220 juga menawarkan peralihan lancar kepada A220-500 pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan kapasiti semasa, sekali gus menggantikan pesawat A320 dengan kapasiti melebihi 180 tempat duduk. Dengan teknologi enjin terkini, pesawat ini merupakan antara yang optimum dalam kelasnya dengan menawarkan keseimbangan optimum antara jarak penerbangan dan kapasiti penumpang. Ia juga sekitar 20 peratus lebih efisien dari segi penggunaan bahan api serta menghasilkan kira-kira 20 peratus kurang pelepasan karbon berbanding A320ceo.

A220 merupakan pilihan strategik yang melengkapi kepelbagaian pesawat terhadap keseluruhan operasi Kumpulan. Ia menawarkan fleksibiliti untuk memenuhi permintaan dengan lebih mudah, membolehkan AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan secara agresif di laluan sedia ada. Ini memberikan para tetamu kemudahan penerbangan beberapa kali sehari serta rangkaian sambungan yang lebih baik, seterusnya memperkukuhkan perkhidmatan Fly-Thru.

Kapasiti A220 membolehkannya mencapai keuntungan dengan bilangan penumpang yang lebih rendah berbanding pesawat berbadan sempit yang lebih besar. Ini membuka peluang kepada pasaran kecil yang sedang berkembang pesat serta hab sekunder yang sebelum ini kurang berdaya saing dari segi komersial, sekali gus memperkukuh misi AirAsia untuk “memperkukuh kesalinghubungan antara destinasi” dan memastikan penerbangan mampu diakses oleh semua.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata: “AirAsia telah mendedikasikan lebih daripada dua dekad dalam memperkukuh kesalinghubungan antara destinasi. Kami telah menjadikan Malaysia sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah nombor satu di dunia dan kami telah membuka akses perjalanan udara kepada jutaan orang di seluruh Asia yang sebelum ini tidak pernah terbang. Pesawat ini memberi kami keupayaan untuk membina rangkaian terbesar dan komprehensif yang berfungsi sebagai alat penting untuk kecekapan. Jarak penerbangannya sehingga tujuh jam membuka peluang baharu sepenuhnya, serta membolehkan kami mengoptimumkan kapasiti yang sesuai dengan permintaan dan memberikan para tetamu fleksibiliti untuk terbang bila-bila masa melalui peningkatan kekerapan penerbangan. Kami telah mendemokrasikan perjalanan udara di Asia dengan membuka laluan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan, dan kini kami akan melakukannya untuk dunia.”

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Kumpulan AirAsia berkata: Dalam persekitaran harga bahan api yang tinggi dan ketidaktentuan pasaran, jawapannya bukan untuk berdiam diri, sebaliknya menggandakan fokus terhadap operasi. Pesawat ini meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api serta mengurangkan kos setiap penerbangan dengan ketara, sekali gus memperkukuh daya tahan kami merentasi kitaran pasaran. Di AirAsia, setiap situasi mencabar kami manfaatkan untuk bergerak lebih berani dan membuka peluang baharu. Kami membuat keputusan pada masa yang tepat, bukan pada masa yang paling mudah. Tempahan ini membuktikan disiplin jangka panjang serta skala aspirasi kami. A220 merupakan aset ideal untuk fasa pertumbuhan seterusnya, membolehkan kami membina rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah sebenar yang pertama di dunia. Di luar operasi penerbangan, perjanjian ini turut memperkukuh ekosistem lebih luas yang telah dibangunkan dalam Capital A, daripada kargo, MRO hingga perniagaan digital, selain mewujudkan pekerjaan dan peluang di pasaran yang kami beroperasi. Kerjasama kami dengan Airbus telah berlangsung lebih dua dekad dan menjadi asas kepada semua pencapaian kami. Hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan itu dan masih banyak lagi yang akan menyusul.”

Lars Wagner, Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Airbus berkata: “A220 menawarkan platform optimum untuk AirAsia, menggabungkan kos operasi yang rendah dengan teknologi terkini bagi memaksimumkan produktiviti, di samping membuka laluan baharu di seluruh Asia yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan. Airbus amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia dalam menandatangani secara rasmi kontrak baharu ini, yang selaras sepenuhnya dengan strategi rangkaian baharu syarikat penerbangan tersebut.

Selepas penghantaran bermula pada 2028, pesawat ini akan beroperasi di destinasi di seluruh Asean dan Asia Pasifik, sekali gus membolehkan pesawat A320 dan A321 beroperasi ke laluan jarak sederhana di rantau Asia Pasifik, manakala pesawat A330 digunakan untuk penerbangan jarak jauh ke Eropah, Australia dan Amerika Utara.

*Perubahan nama daripada AirAsia X Berhad kepada AirAsia Group Berhad adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 syarikat serta pendaftaran oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).