AirAsia X dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia untuk tahun kedua berturut-turut di World Travel Awards 2024
Keterangan Gambar: (Tengah) Aspa Linda, Pengurus Kru Kabin di AirAsia X Malaysia, menerima anugerah World's Leading Long-Haul Low-Cost Airline 2024 bagi pihak AirAsia X di World Travel Awards Grand Final 2024 yang berlangsung di Madeira, Portugal, malam tadi.
MADEIRA, 25 November 2024 - AirAsia X (AAX) sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh dunia dengan memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia untuk tahun kedua berturut-turut di World Travel Awards (WTA) Grand Final 2024.
AAX diiktiraf sebagai pemenang dalam kategorinya, mengatasi lima syarikat penerbangan lain selepas memperoleh undian tertinggi daripada pemain industri, pengembara, dah ahli profesional dari seluruh dunia.
Pengiktirafan ini menunjukkan kecemerlangan AAX pada tahun ini yang telah memperkembang dan memulihkan operasi mereka. Pada suku ketiga tahun 2024, syarikat penerbangan ini telah berjaya mencapai faktor muatan penumpang yang kukuh sebanyak 84 peratus, penambahan penumpang sebanyak 34 peratus, dan pertumbuhan kapasiti dari tahun ke tahun sebanyak 27 peratus. Selain itu, ia telah melancarkan penerbangan terus ke Nairobi, Kenya menandakan kemasukan pertama AAX ke Afrika dan menawarkan lebih banyak sambungan jarak jauh ke destinasi baharu.
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: "Pengiktirafan ini merupakan pencapaian penting bagi AirAsia X dalam usaha kami untuk terus berkembang dan membina pemulihan operasi yang kukuh. Dengan penambahan pesawat yang kembali beroperasi, kami berjaya memperluaskan rangkaian ke Afrika melalui penerbangan terus ke Nairobi baru-baru ini dan kami teruja untuk memperkenalkan lebih banyak destinasi menarik pada masa akan datang.
"Integrasi kami dengan Kumpulan AirAsia pada masa akan datang juga membuktikan kekuatan kerjasama di mana ia membolehkan kami menawarkan sambungan lebih baik, nilai lebih unggul, dan prestasi kewangan lebih berdaya tahan sambil menawarkan lebih banyak peluang kepada tetamu untuk mengembara lebih jauh dengan tambang berpatutan. Kami berterima kasih kepada para tetamu dan rakan industri atas pengiktirafan ini dan tetap komited untuk mentakrifkan semula perjalanan jarak sederhana dan jauh di peringkat global."
Graham Cooke, Pengasas dan Presiden World Travel Awards berkata: "AirAsia X telah menetapkan penanda aras yang baharu untuk syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh dengan menggabungkan rangkaian laluan yang menarik dan eksklusif bersama kecemerlangan operasi yang konsisten dan perkhidmatan yang unggul. Syarikat penerbangan ini terus meneroka peluang perjalanan jarak jauh dengan tambang berpatutan, menetapkan penanda aras untuk diikuti oleh syarikat penerbangan lain, menjadikan mereka benar-benar layak untuk menerima anugerah ini."
Established in 1993, the World Travel Awards are hailed as one of the most prestigious, comprehensive, and sought-after awards programs commemorating excellence across key sectors of travel, tourism, and hospitality.
Ditubuhkan pada tahun 1993, anugerah World Travel Awards ini diiktiraf sebagai salah satu anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama dalam kecemerlangan syarikat merentasi sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.