AirAsia X (Kumpulan AirAsia) sokong kestabilan serantau, perkukuh strategi pertumbuhan dan sasar pemulihan kapasiti operasi sepenuhnya menjelang Ogos
Pembaharuan pesawat dan pengembangan strategik memperkukuh kedudukan AirAsia dalam memenuhi pertumbuhan permintaan perjalanan serantau Asean
Kerjasama berterusan dengan pelbagai pihak berkepentingan terus mengukuhkan kedudukan pasaran Kumpulan
Komitmen bersama dalam kalangan pihak berkepentingan sektor penerbangan dan pelancongan menjadi kunci dalam memastikan tambang penerbangan kekal mampu milik di seluruh Asean
Keterangan Gambar: (Dari kiri) Dato’ Captain Fareh Mazputra, Pengurus Besar AirAsia Malaysia; Kapten Suresh Bangah, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia; Farouk Kamal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Low Kar Chuan, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AirAsia dan Benyamin Ismail, Pengurus Besar AirAsia X pada sesi taklimat perkembangan industri penerbangan yang diadakan di AirAsia RedQ hari ini
SEPANG, 22 Jun 2026 – AirAsia X (Kumpulan AirAsia)* kekal optimis dengan permintaan perjalanan yang terus kukuh di pasaran utama, disokong oleh perkembangan ke arah kestabilan serantau yang berterusan. Kumpulan ini terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi operasi dan kecekapan rangkaian, di samping membina model operasi yang lebih berskala di seluruh rangkaian.
Pemulihan Kapasiti, Perluasan Kesalinghubungan
Kumpulan AirAsia kini melaksanakan strategi pertumbuhan yang dirancang dengan fokus penuh terhadap kecemerlangan operasi. Kumpulan sedang memulihkan kekerapan penerbangan dan kapasiti secara berperingkat di seluruh rangkaiannya dengan sasaran mencapai pemulihan kapasiti sepenuhnya menjelang Ogos 2026. Kumpulan turut mengumumkan pembukaan perkhidmatan ke beberapa destinasi baharu termasuk Busan, Bahrain, London, Batam serta beberapa destinasi domestik lain. Kumpulan juga akan terus menilai peluang pengembangan rangkaian secara strategik dan berdisiplin dengan memberi keutamaan kepada laluan yang berpotensi memberikan hasil yang mampan serta menyokong pertumbuhan perniagaan yang menguntungkan dalam jangka panjang.
Tambang Lebih Rendah Seiring Penstabilan Harga Bahan Api
Menawarkan perjalanan udara yang mampu milik bagi membolehkan para tetamu meneroka destinasi dalam dan luar Asean yang sentiasa menjadi teras kepada misi AirAsia. Dengan penurunan harga bahan api, AirAsia secara berperingkat mengembalikan tambang berbaloi untuk ratusan juta tetamu yang memilih untuk terbang bersama Kumpulan. Usaha ini akan terus menawarkan lebih banyak peluang perjalanan, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini.
Kecemerlangan Operasi dan Pembaharuan Pesawat
Dalam tempoh dua suku tahun yang lepas, Kumpulan AirAsia telah memperkukuh asas operasinya melalui pengurusan pesawat yang berdisiplin, pengoptimuman rangkaian serta kawalan kos yang berterusan. Sejak April 2026, tujuh syarikat penerbangan di bawah Kumpulan telah mencatatkan prestasi ketepatan masa (OTP) purata sebanyak 85 peratus secara konsisten merentasi rangkaian lebih 150 destinasi. Kumpulan turut mempergiat usaha menaik taraf pesawat dengan mengembalikan secara berperingkat pesawat lama serta memperkenalkan pesawat baharu Airbus A321LR yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 20 peratus bagi setiap tempat duduk. Perancangan memperkenalkan Airbus A220 pada masa hadapan akan meningkatkan lagi kecekapan penggunaan bahan api dan mengurangkan kos operasi, sekali gus menyokong komitmen Kumpulan terhadap pertumbuhan.
Kerjasama Strategik untuk Kejayaan Bersama
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata: “Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat bahawa daya tahan bukan terbina ketika keadaan sentiasa mudah, tetapi melalui cara kita menghadapi cabaran dan terus bergerak ke hadapan. Sepanjang tempoh ini, Kumpulan kekal komited dalam memperkukuh operasi, meningkatkan kecekapan serta mempercepatkan penerapan teknologi AI dan penyelesaian berasaskan data untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih baik dan melaksanakan perancangan dengan lebih berkesan di seluruh perniagaan. Hari ini, kita berada dalam kedudukan yang lebih kukuh sebagai sebuah ekosistem yang lebih responsif, berfokus dan bersedia menghadapi masa hadapan hasil daripada pengalaman, pembelajaran serta usaha penambahbaikan yang kita laksanakan secara berterusan.”
“Seiring dengan peningkatan permintaan perjalanan di seluruh rantau ini, keutamaan kami adalah memastikan akses kepada perjalanan udara kekal mampu milik untuk semua. Namun, usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama berterusan daripada semua pihak. Kami ingin merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi industri atas kerjasama serta sokongan berterusan dalam memperkukuh sektor penerbangan. Pada masa yang sama, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan yang perlu diteruskan. Kami kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan kongsi industri bagi mewujudkan persekitaran kos yang lebih kompetitif, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada para pelancong.
Perjalanan udara dan pelancongan terus menjadi pemacu utama ekonomi bagi banyak negara Asean, justeru semua pihak berkepentingan dalam sektor penerbangan dan pelancongan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kos kekal berpatutan sepanjang proses pemulihan industri. Ini termasuk usaha mengelakkan peningkatan caj lapangan terbang, cukai dan bayaran berkaitan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, yang amat penting bagi mengekalkan permintaan perjalanan, memperkukuh kesalinghubungan serta menyokong pemulihan ekonomi di seluruh rantau ini.”
*Penukaran nama daripada AirAsia X kepada AirAsia Group Berhad adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-19 syarikat serta pendaftaran oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).