AirAsia X perkukuh lembaga pengarah dengan pelantikan ahli profesional berpengalaman sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu

SEPANG, 1 Julai 2022 - AirAsia X (AAX) memperkukuh kekuatan barisan Ahli Lembaga Pengarah dengan pelantikan Tunku Dato’ Mahmood Fawzy sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu berkuatkuasa serta merta.

Sebagai seorang ahli profesional berpengalaman, Tunku Fawzy bersama-sama barisan eksekutif AAX akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan strategik syarikat penerbangan itu dengan model perniagaan yang lebih kukuh, seterusnya menawarkan lebih nilai kepada semua pihak berkepentingan pada masa hadapan.

Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Ahli Jawatankuasa Pencalonan AAX Dato’ Fam Lee Ee berkata: “Kami berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan Tunku Fawzy sebagai ahli baharu Lembaga Pengarah AAX. Pengalaman beliau yang luas sebagai seorang ahli Lembaga Pengarah, ahli Jawatankuasa Penasihat Utama dan Pengerusi kepada pelbagai organisasi yang berjaya serta dalam industri penerbangan menjadikan beliau seorang yang tepat untuk membantu mempercepat pertumbuhan AAX.

“Bagi pihak barisan ahli Lembaga Pengarah yang lain, kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tunku Fawzy untuk membawa syarikat penerbangan ini ke peringkat seterusnya.”

Pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas AAX Tan Sri Tony Fernandes berkata, “AAX kini berada dalam era baharu dan kami akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membina semula AAX sebagai sebuah syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh bernilai hebat. Permintaan untuk perjalanan antarabangsa semakin pulih dan AAX berada pada kedudukan yang baik untuk memacu pemulihan industri pelancongan secara dramatik. Kami berharap dapat mencapai visi ini dengan kerjasama, pengalaman dan kepakaran Tunku Fawzy.”

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AAX Tunku Dato’ Mahmood Fawzy berkata, “Ini merupakan masa yang terbaik untuk menyertai AAX. Saya mengagumi jenama dan perniagaan yang telah dibangunkan oleh Datuk Kamarudin dan Tan Sri Tony serta nilai Kumpulan ini. Saya teruja untuk mengembangkan asas yang telah dibangunkan untuk masa hadapan syarikat ini dan meningkatkan nilai untuk para pemegang saham. Setelah kejayaan memimpin beberapa buah syarikat melalui pertumbuhan dan pengembangan, saya bersedia menyumbang kepakaran untuk membawa AAX ke tahap seterusnya.

“Saya berharap untuk bekerjasama dengan seluruh ahli Lembaga Pengarah dan pasukan kepimpinan yang lain, terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail dalam memanfaatkan pelbagai peluang perniagaan di masa hadapan dan melakar kejayaan untuk AAX.”

***

TUNKU DATO’ MAHMOOD FAWZY

Warganegara: Malaysia

Umur: 63

Tunku Dato’ Mahmood Fawzy merupakan Pengarah Bebas AIA General Berhad, Hong Leong Asset Management Berhad serta Deutsche Bank (Malaysia) Berhad di mana beliau juga merupakan Pengerusi di organisasi tersebut.

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman bekerja dalam industri pelaburan, minyak dan gas, kewangan korporat dan banyak lagi. Beliau memulakan kerjayanya sebagai penganalisis pertukaran asing di NCR UK Limited dan kemudian menyertai Svenska Handelsbanken, London sebagai Penganalisis Risiko.

Pada tahun 2002, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Engen Limited (Engen), sebuah syarikat minyak bersepadu di Afrika Selatan, yang juga anak syarikat PETRONAS. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Persatuan Industri Petroleum Afrika Selatan (SAPIA). Beliau kemudian menyertai Khazanah Nasional Berhad pada bulan Mei 2007 dan bersara sebagai Pengarah Eksekutif, Pelaburan, pada bulan Mei 2010.

Beliau sebelum ini merupakan ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad, Hong Leong Assurance Berhad, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, SapuraKencana Petroleum Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Pos Malaysia Berhad, Executive Solutions and Outcomes Sdn Berhad, Ethos Capital One Sdn Berhad, dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Energy Africa Limited. Beliau merupakan graduan Universiti Warwick dan memegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan BA (Kepujian) Pengajian Perniagaan dari Polytechnic of Central London.