AirAsia X mula terbang ke Tashkent, memperkukuh hubungan antara Asean dan Asia Tengah

Laluan baharu ini menghubungkan Malaysia di sepanjang laluan Sutera dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026

TASHKENT, 16 Oktober 2025 – AirAsia X (AAX) hari ini meraikan pelancaran penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Tashkent, Uzbekistan, menandakan babak baharu dalam rangkaian Asia Tengah syarikat penerbangan itu yang semakin berkembang serta mengukuhkan peranan Malaysia dalam mempromosikan Asean sebagai pintu gerbang ke rantau baharu.

Laluan baharu ini turut memperluas capaian global AAX dengan menghubungkan Asia Tenggara ke ibu kota Uzbekistan, sebuah hab yang kaya dengan warisan Laluan Sutera, sekali gus membuka akses perjalanan mampu milik antara kedua-dua rantau.

Pelancaran ini hadir pada waktu yang tepat ketika Malaysia sedang memperhebat promosi pelancongan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menyasarkan kedatangan 47 juta pelancong dan penjanaan hasil sebanyak RM329 bilion. Perkhidmatan baharu ini dijangka meningkatkan ketibaan pelancong dari Asia Tengah sambil mempromosikan pelbagai destinasi menarik di Malaysia serta ekosistem pelancongan mesra Muslim di bawah program MFAR (Muslim-Friendly Tourism & Hospitality Assurance and Recognition).

Sehubungan dengan kejayaan laluan Kuala Lumpur–Almaty yang dilancarkan pada tahun 2024, AAX telah menghubungkan hampir 165,000 tetamu antara Malaysia dan Asia Tengah dengan faktor muatan kukuh hampir 80 peratus, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perjalanan berasaskan budaya dan percutian. Penambahan laluan ke Tashkent dijangka memperkukuhkan momentum ini, sekaligus mewujudkan peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.

Sempena pelancaran ini, AAX turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak berkuasa pelancongan Uzbekistan bagi menjalinkan kerjasama dalam promosi bersama dan program pertukaran yang bertujuan memperluas perjalanan dua hala serta mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun, berkata: “Pelancaran bersejarah ini melambangkan sebuah jambatan yang merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan. Selaras dengan pengembangan kami ke Asia Tengah, AirAsia X berbangga menyokong agenda pelancongan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pencapaian ini menonjolkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam memperkukuh hubungan serantau serta membuktikan komitmen bersama kami untuk membuka laluan baharu dalam mempromosikan perjalanan mampu milik, pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata: “AirAsia X sentiasa komited dengan pengembangan rangkaian penerbangan jarak jauhnya sambil memastikan perjalanan menjadi lebih mudah diakses dengan menjadikan kesalinghubungan sebagai nilai sebenar kepada komuniti dan ekonomi di seluruh Asia Tengah dan Asia Tenggara. Pada tahun ini, kami telah menerbangkan lebih 80,000 penumpang antara kedua-dua rantau dan jumlahnya terus meningkat, dengan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia oleh OAG. Ini membolehkan ramai penumpang menikmati sambungan tanpa henti ke lebih 130 destinasi melalui perkhidmatan Fly-Thru kami. Laluan baharu ini turut melengkapi agenda pelancongan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkukuh kedatangan pelancong ke negara ini serta meletakkan Malaysia sebagai pintu gerbang utama Asean ke rantau baharu.”

Tuan Yang Terutama Dr. Karomidin Gadoev, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, berkata: “Kami mengucapkan tahniah kepada AirAsia X atas pelancaran perkhidmatan pertama ke Tashkent, satu pencapaian bersejarah yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara Uzbekistan dan Malaysia. Uzbekistan kini giat memperkukuh sektor pelancongan Islam melalui pelaburan infrastruktur dan inisiatif promosi global bagi memastikan warisan serta tapak-tapak spiritual kami dapat diakses oleh lebih ramai pelawat antarabangsa. Pencapaian ini oleh AirAsia X bukan sahaja melengkapi visi nasional kami, tetapi juga mewujudkan lebih banyak peluang untuk pertukaran budaya, pendidikan dan ekonomi. Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AirAsia X atas langkah berani ini yang pasti akan memperkukuhkan hubungan serta memacu pertumbuhan bersama antara Asia Tengah dan Asean.”

AirAsia X kini terbang ke Tashkent dengan jumlah penerbangan sebanyak tiga kali seminggu, menawarkan lebih daripada 82,000 tempat duduk setahun dengan tambang nilai yang berpatutan bermula daripada RM799* atau USD199* termasuk semua sehala. Tambang promosi kini boleh ditempah mulai hari ini hingga 26 Oktober 2025 bagi tempoh perjalanan antara sekarang hingga 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Tashkent (TAS):

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala dan merangkumi caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api dan yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.