AirAsia X perluas rangkaian global dengan laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London, sekali gus menjadikan Bahrain sebagai hab strategik pertamanya ke Eropah

MANAMA, Bahrain, 11 Februari 2026 - AirAsia X (AAX) Berhad meraikan pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat penerbangan itu dengan pengumuman dua laluan antarabangsa menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke London Gatwick (KUL-BAH-LGW) pada sidang media yang diadakan di Bahrain hari ini.

Destinasi Bahrain-London akan menjadi laluan Kebebasan Kelima yang kedua bagi AAX, menandakan pengembangan syarikat penerbangan ini melangkaui pasaran di Asia untuk memenuhi keperluan pasaran perjalanan tambang rendah peringkat global. Bermula pada 26 Jun 2026, laluan strategik ini menjadikan Bahrain sebagai hab global pertama AAX, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah. Dengan memanfaatkan lokasi strategik serta struktur penerbangan Bahrain, perkhidmatan KUL-BAH-LGW menawarkan pilihan laluan persinggahan dan kerjasama strategik.

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat kepada AAX berkata: “Ini merupakan satu langkah penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya bagi AirAsia X. Bahrain sebagai hab penerbangan strategik membolehkan hubungan antara Asia dengan Timur Tengah dan Eropah diperkukuh dengan lebih efektif, sambil mewujudkan platform yang berskala untuk pertumbuhan masa hadapan. Melangkaui operasi syarikat penerbangan, kerjasama ini turut memeperkasa ekosistem penerbangan secara menyeluruh, membuka peluang kepada perniagaan Capital A seperti kargo dan perkhidmatan kejuruteraan berkembang seiring dengan AirAsia X. Hari ini juga menandakan satu pencapaian penting apabila penerbangan pertama Teleport tiba di Bahrain, susulan pengumpulan modal sebanyak USD50 juta baru-baru ini — satu langkah strategik yang membantu meletakkan Bahrain sebagai hab penerbangan dan logistik utama di rantau ini. Pada masa hadapan, kerjasama dengan lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan rakan industri akan terus diperkukuh bagi membuka koridor permintaan baharu. Fokus adalah membina enjin pertumbuhan yang mengimbangi keterhubungan, prestasi komersial dan daya tahan operasi, sambil kekal berpegang kepada nilai teras perjalanan jarak jauh yang berpatutan.”

Tuan Yang Terutama Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa, Menteri Kewangan dan Ekonomi Nasional Kerajaan Bahrain berkata: “Kerjasama AirAsia X ini merupakan satu keputusan strategik yang mencerminkan kekuatan Bahrain sebagai rakan ekonomi serta peranannya sebagai pusat kesalinghubungan serantau dan global. Pelaburan ini juga akan memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai pintu masuk utama menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, di samping memberikan manfaat ekonomi. Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dalam operasi penerbangan serta membuka peluang lebih luas merentasi sektor pelancongan, logistik, hospitaliti dan perkhidmatan berkaitan. Inisiatif ini turut menyokong pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya jangka panjang untuk rakyat tempatan dalam industri global yang terus berkembang. Kami berbangga mengalu-alukan kedatangan AirAsia X di Bahrain.”

Dengan pelancaran laluan ini, AirAsia X terus memperkukuh rangkaiannya yang merangkumi lebih 150 destinasi di seluruh dunia serta mentakrifkan semula perjalanan jarak dekat dan jarak jauh melalui gabungan kecekapan kos rendah, kerjasama strategik dan kesalinghubungan berasaskan hab sekali gus mengukuhkan aspirasi syarikat untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan global.

AirAsia X telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan para pelancong ke 95 destinasi merentasi 23 negara Asia dengan hampir 2,000 penerbangan setiap minggu, termasuk laluan ke Vietnam, Sri Lanka, Australia dan Jepun. Dikendalikan menggunakan pesawat model A330 AAX, perkhidmatan baharu KUL-BAH-LGW ini seterusnya meluaskan akses kepada pelancong dari Australia, Indonesia, Vietnam dan pasaran utama lain, sekali gus mewujudkan laluan perjalanan yang lebih mampu milik dan mudah ke Bahrain dan London.

Bagi meraikan pencapaian ini, AAX menawarkan tambang promosi dengan masa terhad bermula daripada RM99* dan RM199* termasuk semua sehala dari Kuala Lumpur ke Bahrain dan London, dengan tambang seterusnya bermula daripada RM299* dan RM399* bagi kedua-dua sektor. Para tetamu juga boleh menikmati perjalanan menggunakan Premium Flatbed AAX yang memenangi beberapa anugerah antarabnagsa bermula daripada RM2,999* termasuk semua sehala bagi kedua-dua sektor, untuk pengalaman penerbangan yang lebih selesa. Penerbangan kini boleh ditempah bermula hari ini hingga 22 Februari 2026, bagi tempoh perjalanan antara 26 Jun hingga 30 November 2026, menerusi airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Bahrain (BAH):

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan London (LGW) melalui Bahrain:

*Tambang promosi termasuk semua sehala ini ditawarkan hanya pada masa terhad. Tambang  adalah termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api serta yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.