AirAsia X perluas rangkaian penerbangan ke Afrika dengan penerbangan pertama ke Nairobi
Pelancaran laluan ini menambah kesalinghubungan secara terus dengan tambang berpatutan ke ibu negara Kenya, menjadikan AirAsia X sebagai satu-satunya syarikat penerbangan dari Malaysia dan Asean yang menawarkan tambang rendah ke Nairobi
NAIROBI, 16 November 2024 - AirAsia X (AAX) hari ini mengumumkan pencapaian bersejarah melalui pengembangan rangkaiannya dengan meraikan penerbangan pertama secara terus dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Nairobi, Kenya yang juga laluan sulungnya ke Afrika Timur.
AAX merupakan syarikat penerbangan tambang pertama dari Asean yang menghubungkan laluan udara secara terus ke ibu negara Kenya iaitu Nairobi, membuktikan komitmen kukuh syarikat penerbangan ini untuk memperluas rangkaiannya berikutan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diiktiraf sebagai salah satu hab penerbangan mega di peringkat global.
Laluan baharu ini dijangka akan menggalakkan pertukaran budaya dan meningkatkan sektor pelancongan, sekaligus mengeratkan hubungan penting dalam perniagaan dan perdagangan antara Asia Tenggara dan Afrika Timur. Pelancaran ini juga menyokong visi syarikat ini untuk menjadi peneraju pemain industri yang menghubungkan destinasi belum diterokai dengan tambang berpatutan di seluruh dunia.
Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ekitela Moru mengalu-alukan pelancaran laluan ini dan berkata: “Laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Nairobi ini menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan, pertukaran pendidikan dan mengeratkan komuniti antara kedua-dua negara. Kenya sentiasa menjadi destinasi utama bagi para pengembara dan kini dengan tambang berpatutan, saya yakin laluan ini akan memperkukuh hubungan dua hala dan mempromosikan warisan serta keindahan semula jadi Kenya. Sebagai tarikan utama di Afrika dan satu-satunya ibu kota yang mempunyai taman negara, Nairobi menawarkan pengalaman menerokai kehidupan liar dan alam semula jadi yang tiada tandingan. Pada tahun depan, Kenya dan Malaysia akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60, satu kerjasama yang telah berkembang pesat dalam pelbagai sektor, termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, dan pertukaran budaya. Kami percaya kerjasama ini akan mempromosikan peluang baharu dan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “AirAsia X terus terbang tinggi sejak memulakan operasi pada 17 tahun lalu. Penerbangan terus pertama kami ke Nairobi yang mencatatkan muatan penumpang hampir 90 peratus membuktikan dedikasi kami untuk menawarkan kesalinghubungan dengan tambang berpatutan di seluruh dunia dan menggalakkan pengembara untuk memenuhi impian mereka menjelajah ke destinasi menakjubkan yang belum diterokai. Pengembangan laluan ke benua Afrika telah lama menjadi salah satu impian kami, dan AAX sentiasa berusaha untuk menawarkan rangkaian ke peringkat global yang lebih mudah dan berpatutan.
“AAX akan memasuki era baharu tidak lama lagi melalui penyepaduan perniagaan dengan penerbangan jarak dekat Capital A, yang membolehkan kami menerokai lebih banyak peluang penerbangan. Seiring dengan pengembangan rangkaian dan kehadiran kami di Afrika, kami teruja untuk masa depan yang lebih cerah. Kami yakin bahawa kehadiran kami di Nairobi akan menggalakkan perjalanan udara serta meningkatkan sektor pelancongan antara kedua-dua negara dan hubungan serantau. Selain itu, negara-negara Asean adalah dalam senarai destinasi utama bagi para pengembara di seluruh dunia dan kami mengalu-alukan para pengembara dari Afrika untuk meneroka rantau ini melalui Kuala Lumpur dengan perkhidmatan Fly-Thru yang menawarkan laluan ke Asia degan lancar.”
Terletak di tengah-tengah Kenya, Nairobi menawarkan pengalaman pengembaraan menarik kepada pengunjung yang ingin menerokai hidupan liar yang luar biasa seperti badak sumbu putih utara yang hampir pupus atau migrasi fauna yang mengagumkan di Masai Mara, atau menikmati pemandangan safari yang terkenal di seluruh dunia. Selain itu, bandar ini juga merupakan metropolis dinamik yang menawarkan pelbagai tarikan meriah dan hidangan tempatan yang kaya dengan tradisi dan komuniti yang pelbagai.
AAX kini terbang ke Nairobi dengan empat penerbangan mingguan, menawarkan lebih daripada 156,000 tempat duduk setiap tahun dengan tambang termasuk-semua* bermula daripada RM699 atau USD199 termasuk semua sehala. Tambang promosi ini kini boleh ditempah mulai 1 Disember hingga 14 Disember 2024 untuk tempoh perjalanan mulai hari ini sehingga 30 Jun 2025 secara eksklusif di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.
*Tambang promosi termasuk semua untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai, caj bahan api dan yuran yang berkaitan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.