AirAsia X rai penyambungan semula perkhidmatan ke/dari Korea Selatan dan India

SEPANG, 21 April 2022 - AirAsia X (AAX) hari ini mengalu-alukan ketibaan penerbangan D7 505 dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur. Penerbangan tersebut menandakan penyambungan semula perkhidmatan mingguannya ke/dari Korea Selatan selepas dua tahun, yang disambut dengan pancuran air setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

Keterangan Gambar: Para tetamu dari Kuala Lumpur ke New Delhi pada majlis penghantaran tetamu oleh AirAsia X oleh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) semalam, 20 April 2022.

AAX juga telah menyambung semula perkhidmatannya ke/dari New Delhi, India sebanyak dua kali seminggu bermula semalam pada 20 April 2022 dengan acara penghantaran tetamu di klia2.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata: “Hari ini menandakan satu pencapaian penting bagi AAX, bukan sahaja untuk pemulihan kami sebagai sebuah syarikat penerbangan tetapi juga untuk pembangunan semula industri pelancongan negara. Penyambungan semula laluan paling popular kami secara berperingkat ini amat dinantikan oleh para tetamu kami dan di seluruh rantaian nilai dalam sektor pelancongan, seterusnya merangsang pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan di pasaran utama kami seperti Australia, Korea Selatan dan India kerana membuka semula sempadan mereka dan melonggarkan sekatan perjalanan. AAX berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama. Kami akan terus menyemak rangkaian kami dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran utama kami. Lebih banyak perkhidmatan ke destinasi lain akan diumumkan dalam masa terdekat seiring dengan pembukaan sempadan antarabangsa.

“Dengan penyambungan semula perkhidmatan ini, kami ingin memberi jaminan kepada para tetamu bahawa kami akan terus komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi pada setiap masa. Seluruh kakitangan kami sama ada di darat dan udara telah menerima vaksinasi lengkap dan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, memberikan pengalaman perjalanan terbaik termasuk tawaran tempat duduk istimewa Premium Flatbed kami, serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan untuk keselamatan para tetamu kami.”

Tambang termasuk semua* dari Kuala Lumpur ke Incheon (Seoul) bermula daripada RM873 untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM2,199 sehala. Dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada RM1,050 dan RM2,880 sehala. Para tetamu yang menempah penerbangan ini juga dapat menikmati tambahan bagasi kabin 7kg secara percuma.

Manakala tambang termasuk semua* dari Kuala Lumpur ke New Delhi bermula daripada RM565 untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM1,830 sehala termasuk semua*. Dari New Delhi ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada INR9,669 dan INR33,1190 sehala.

Para tetamu boleh membuat tempahan perkhidmatan ke Korea Selatan dan India dengan menekan ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App atau melalui laman web untuk tempoh perjalanan antara sekarang sehingga 30 Jun 2022. Perkhidmatan tambahan bagi kedua-dua laluan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

*Tambang termasuk semua cukai dan fi berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat.