AirAsia X rai ulang tahun pertama laluan Kuala Lumpur-Almaty dengan pengumuman peningkatan kekerapan penerbangan

ALMATY, 21 April 2025 – AirAsia X (AAX) meraikan ulang tahun pertama laluan Kuala Lumpur-Almaty, menandakan kejayaan dalam menghubungkan Asia Tenggara dengan Asia Tengah. Bagi memenuhi peningkatan permintaan, syarikat penerbangan ini telah menambah kekerapan penerbangan antara Malaysia dan Kazakhstan kepada lima penerbangan mingguan menawarkan hampir 77,000 tempat duduk untuk suku tahun seterusnya.

Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty, AAX telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan kedua-dua rantau ini. Sejak penerbangan sulungnya pada 14 Mac 2024, AAX telah mengekalkan faktor muatan yang mengagumkan sebanyak 90 peratus bagi empat penerbangan mingguannya. Permintaan kukuh ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap perjalanan antara Malaysia dan Kazakhstan, dan AAX melihat potensi pertumbuhan lebih besar pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkukuh hubungan pelancongan antara Asia Tengah dan Asia Tenggara, AAX dan Almaty Tourism telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini, menandakan satu pencapaian baharu dalam kerjasama strategik mereka. Perjanjian ini mengeratkan usaha kedua-dua pihak untuk merancakkan perjalanan dua hala antara Malaysia dan Kazakhstan, seterusnya menjadikan Almaty sebagai destinasi utama bagi pelancong dari Asia Tenggara, khususnya Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X  berkata: “Kami berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh para tetamu dari kedua-dua negara sehingga dapat menawarkan lebih banyak sambungan ke Asia Tengah. Penambahan kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Almaty kepada lima penerbangan mingguan didorong oleh permintaan yang kukuh serta peningkatan populariti bandar ini sebagai destinasi wajib dilawati, seperti yang diiktiraf oleh CNN dan Lonely Planet baru-baru ini. Sejak pelancaran laluan ini pada bulan Mac tahun lalu, kami telah menerbangkan beribu tetamu antara Kuala Lumpur dan Almaty, sekali gus membuktikan potensinya sebagai destinasi pelancongan dan perdagangan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk menerajui pertumbuhan dan keterhubungan serantau. Rangkaian yang dipertingkatkan ke Kazakhstan bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi bersama, malah membuka peluang baharu di pasaran yang sedang pesat membangun di seluruh Asia Tengah.

“Menerusi perkhidmatan Fly-Thru kami di Kuala Lumpur, para pelancong dari Almaty kini boleh mengakses lebih daripada 130 destinasi, termasuk destinasi popular di ASEAN dan lain-lain seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Bali dan Bangkok. Para pelancong dari seluruh ASEAN juga boleh menaiki penerbangan ke negara yang dikenali sebagai ‘Switzerland Asia Tengah dengan lancar melalui Kuala Lumpur. Perkhidmatan ini memperkukuh lagi komitmen kami untuk menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan mampu milik, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan pertukaran ekonomi di seluruh rantau ini.”

Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata: “Sektor pelancongan Malaysia berada di landasan pertumbuhan kukuh, dengan penyusunan semula strategi bagi menarik 45 juta pelawat dan menjana RM270 bilion dalam hasil pelancongan menjelang tahun hadapan. Ini adalah sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang memanfaatkan kepelbagaian tarikan negara, aksesibiliti yang semakin baik, serta strategi pasaran yang disasarkan. Bagi membuka lebih banyak potensi pelancongan Malaysia, kami berbangga dapat menyokong syarikat penerbangan seperti AAX dalam memperkukuh hubungan udara di Asia Tengah, di mana negara seperti Kazakhstan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dari segi ketibaan pelancong melalui penerbangan terus. Kazakhstan terus menjadi salah satu pasaran sumber pelancongan utama dan sedang pesat membangun bagi Malaysia dan kami komited untuk memperkukuh kerjasama ini dalam usaha menyambut lebih ramai pelawat dari rantau ini menjelang VM2026.”

Sempena meraikan pencapaian ini, AAX menawarkan tambang istimewa dengan diskaun sebanyak 25 peratus* untuk semua tempat duduk bagi semua penerbangan. Para pelancong kini boleh terbang terus dari Almaty ke Kuala Lumpur dan menyambung perjalanan ke destinasi menarik seperti Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Manila, Bali, Da Nang, Krabi, Sydney dan banyak lagi pada tambang yang lebih berpatutan. Tempoh tempahan kini bermula mulai hari ini hingga 27 April 2025, untuk tempoh perjalanan antara 28 April hingga 30 November 2025. Selain itu, penumpang turut boleh menikmati diskaun 25 peratus untuk Pilihan Tempat Duduk dan diskaun 10 peratus untuk Bagasi Daftar Masuk** apabila menempah bersama penerbangan. Tambang promosi ini hanya tersedia secara eksklusif di AirAsia MOVE dan airasia.com.

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja, termasuk  servis caj penumpang,  caj perkhidmatan, caj bahan api, dan caj-caj lain yang berkenaan.

**Promosi sah semasa tempahan penerbangan awal dan tertakluk kepada ketersediaan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.