AirAsia X raih Anugerah Syarikat Penerbangan Antarabangsa Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut di Australian Aviation Awards 2025
AAX terus komited untuk pasaran tersebut dan bakal mengendalikan dua penerbangan sehari antara Kuala Lumpur dan Sydney serta Melbourne dari Disember 2025 hingga Januari 2026
SYDNEY, 18 Ogos 2025 – AirAsia X (AAX) sekali lagi meraih anugerah berprestij Syarikat Penerbangan Antarabangsa Terbaik Tahunan di Australian Aviation Awards 2025, menandakan kemenangannya dua tahun berturut-turut dan memperkukuh lagi kehadirannya yang semakin berkembang di Australia.
Anugerah ini telah disampaikan di Sydney pada hari Jumaat lepas, mengiktiraf kecemerlangan berterusan AAX dalam menawarkan perjalanan udara antarabangsa berpatutan, dipercayai dan mudah diakses untuk rakyat Australia, di samping memperluas jangkauannya di pasaran utama.
AAX terus komited untuk pasaran tersebut dan akan menambah kekerapan penerbangan pada musim puncak perjalanan dari Disember 2025 hingga Januari 2026 dengan tiga penerbangan mingguan tambahan dari Kuala Lumpur ke Sydney dan Melbourne, menjadikan setiap laluan kepada 14 penerbangan mingguan. Dengan penambahan ini, AAX akan mengendalikan dua penerbangan sehari ke kedua-dua bandar tersebut, menjadikan kekerapan tertinggi setakat ini, sekali gus menawarkan lebih banyak kemudahan dan pilihan kepada para pengembara.
Penambahan kapasiti ini juga meningkatkan kesalinghubungan serantau AAX melalui perkhidmatan Fly-Thru yang membolehkan sambungan lancar melalui Kuala Lumpur ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia, Timur Tengah dan Asia Tengah, termasuk Tokyo, Seoul, New Delhi, Beijing, Almaty, Tashkent dan laluan baharu iaitu Istanbul.
Melengkapkan rangkaian AAX, tiga lagi syarikat penerbangan di bawah jenama AirAsia juga mengendalikan penerbangan terus ke Australia dari Darwin, Adelaide dan Perth, sekali gus memperkukuh kehadiran serantau kumpulan ini serta komitmennya untuk menawarkan kesalinghubungan tambang rendah dan bernilai tinggi di seluruh negara.
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Kami berbesar hati unutk menerima anugerah ini bagi tahun kedua berturut-turut. Australia adalah permulaan kami dan ia kekal sebagai salah satu pasaran terpenting bagi kami. Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, kami telah menerbangkan lebih daripada 10 juta tetamu antara Australia dan Malaysia, dengan majoritinya merupakan pengembara dari Australia, yang membuktikan sokongan kukuh rakyat tempatan terhadap jenama kami.
“Pengiktirafan ini terus memperkukuh komitmen kami untuk mengembangkan jangkauan di Australia dan terus menawarkan nilai serta perkhidmatan yang tiada tandingan. Kami berada di sini untuk jangka masa panjang dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu daripada Australia kerana memilih untuk terbang bersama kami, serta kepada para juri kerana mempercayai perkhidmatan kami.”
Australian Aviation Awards meraikan pencapaian kecemerlangan dalam sektor penerbangan melalui proses penjurian yang menyeluruh yang menilai pertumbuhan, kepimpinan, inovasi serta sumbangan kepada industri.