AirAsia X sahkan peletakan jawatan Pengerusi oleh Tan Sri Rafidah Aziz

SEPANG, 28 Jun 2022 - AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi oleh Tan Sri Rafidah Aziz berkuatkuasa 1 Julai 2022.

Tan Sri Rafidah telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah pada 3 Mac 2011 dan telah dilantik semula sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kanan selepas penyenaraian syarikat itu pada 10 Julai 2013. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Pengurusan Risiko Lembaga Pengarah dan Lembaga Semakan Keselamatan Syarikat.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, “Saya bakal berusia 79 tahun pada tahun ini dan telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas mengikut penggal yang telah ditetapkan. Saya perlu mematuhi perubahan status daripada seorang ahli Lembaga Pengarah Bebas kepada Bukan Bebas termasuk memenuhi keperluan yang lain untuk jawatan tersebut. Oleh itu, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi AAX berkuatkuasa mulai 1 Julai.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk AAX melantik ahli lembaga pengarah baharu untuk memacu syarikat ini ke hadapan terutamanya selepas proses penstrukturan semula. Ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan saya berbesar hati kerana dapat mengenali semua Allstars yang saya hargai.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Tony dan Datuk Kamarudin kerana menjemput saya secara peribadi untuk menjadi Pengerusi AAX sebelum syarikat ini disenaraikan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah, dulu dan kini, serta semua ahli yang terlibat, di atas segala kerjasama, sokongan dan bimbingan mereka. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada seluruh keluarga AAAX.”

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas AAX berkata, “Tan Sri Rafidah telah menjalankan peranan beliau lebih daripada seorang Pengerusi. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, beliau adalah tulang belakang saya dari awal hingga pengembangan AirAsia dan yang penting, beliau juga merupakan seorang sahabat dan mentor dalam kehidupan peribadi saya. Beliau sentiasa memberikan semangat dan berkongsi pendapatnya secara jujur. Walaupun kini telah bersara, beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar AirAsia dan kepimpinan beliau akan terus menjadi inspirasi buat kami semua. Kami pasti akan terus meminta pandangan dan bimbingan beliau untuk meneruskan perjalanan kami ke peringkat seterusnya.”  

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AAX berkata, “Bagi pihak barisan Ahli Lembaga Pengarah dan seluruh keluarga AAX, kami amat berterima kasih di atas segala sokongan dan dorongan oleh Tan Sri Rafidah selama ini. Sebagai seorang perintis dalam memperjuangkan kesaksamaan, hak wanita dan kebajikan untuk negara-negara membangun, beliau merupakan lambang jenama AirAsia di mana kami terus memberikan yang terbaik tanpa mengira latar belakang. Walaupun kami berduka di atas persaraan beliau, kami memahami serta menghormati keputusan beliau untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Kami sentiasa bersyukur di atas sumbangan beliau dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa akan datang.”

Tan Sri Rafidah memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari Universiti Malaya. Antara anugerah dan pencapaian beliau termasuklah menjawat jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia yang paling lama berkhidmat,  selama 21 tahun, dari tahun 1987 hingga 2008.