AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X terbang ke Chongqing, bandar pergunungan di China

SEPANG, 16 Oktober 2024 - AirAsia X (AAX) hari ini meraikan penyambungan semula perkhidmatannya ke Bandar Pergunungan China yang terkenal iaitu Chongqing dengan pelancaran empat penerbangan mingguan bermula hari ini. Chongqing bukan sahaja terkenal dengan hidangan tempatan yang menyelerakan seperti sup mala pedas, malah merupakan bandar terbesar dengan hampir 32 juta penduduk.

Pelepasan penerbangan pertama D7 808, turut dihadiri oleh Dato’ Fam Lee Ee, Pengerusi AirAsia X dan Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X. Penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 7:35 malam (15 Oktober) dengan kapasiti penumpang hampir 90 peratus dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei Chongqing pada jam 12:45 pagi pada hari Rabu.

Destinasi ini kini menjadi pilihan utama bagi pengembara solo dan pasangan inginkan percutian yang menawarkan pengalaman budaya unik. Chongqing menawarkan gabungan bandar moden dan warisan sejarah, seterusnya menjadikan ia destinasi pilihan ramai.

Selain itu, AAX juga telah menyambut ketibaan penerbangan pertamanya dari Chongqing ke Kuala Lumpur bersama-sama Tourism Malaysia pada pagi ini. Para tetamu dalam penerbangan D7 809 telah diraikan dengan kehadiran Nor Hayati Zainuddin, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia bersama AirAsia Allstars.

Syarikat penerbangan ini sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China. Kini, Kumpulan AirAsia mengendalikan penerbangan ke sejumlah 19 destinasi di China dengan lebih daripada 60 laluan dua hala.