AirAsia X terbang ke Türkiye dengan penerbangan pertama ke Istanbul, menawarkan lebih banyak pilihan sambungan mampu milik antara ASEAN dan Eurasia
Keterangan Gambar: [Dari kiri ke kanan] Dato’ Fam Lee Ee, Pengerusi AirAsia X; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A; Tuan Ahmad Amiri Abu Bakar, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul; Benyamin Ismail, Ketua Eksekutif AirAsia X; Sinan Seha Türkseven, Pengurus Besar, Agensi Promosi dan Pembangunan Pelancongan Türkiye (TGA) dan Hasan Hamdan, Pemasaran Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen.
ISTANBUL, 17 November 2025 – AirAsia X (AAX), peneraju penerbangan tambang rendah jarak sederhana, meraikan satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran penerbangan terus pertama dari Kuala Lumpur ke Istanbul, menandakan kemasukan yang dinantikan syarikat penerbangan ini ke Türkiye dan memperkukuh rangkaian yang semakin berkembang di Asia dan seterusnya.
Penerbangan D7 604 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (T2) pada 14 November 2025 jam 9:35 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SAW) pada jam 4:05 petang waktu tempatan, menandakan detik bersejarah bagi AAX kerana menghubungkan Malaysia dengan salah satu bandar paling dinamik dari segi budaya dan ekonomi di dunia.
Pelancaran ini menandakan perkhidmatan pertama AAX ke Türkiye, sekaligus menegaskan komitmen syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaiannya di luar Asia serta menawarkan pilihan perjalanan jarak jauh mampu milik untuk semua golongan.
Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A berkata: “Pelancaran perkhidmatan pertama kami ke Istanbul merupakan langkah berani yang telah lama dinantikan dalam strategi pertumbuhan jarak jauh AirAsia X. Türkiye mewakili pasaran yang kukuh dan dinamik dengan potensi besar bagi perjalanan santai dan perniagaan. Laluan baharu ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan rangkaian kami antara Asia Tenggara dan Eurasia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah. Apabila permintaan terhadap perjalanan antarabangsa ke pelbagai destinasi utama di Eropah, Asia Tengah dan Timur Tengah terus meningkat, kami tetap fokus untuk mengembangkan pasaran strategik yang memperkukuh jejak global kami serta memberikan nilai lebih kepada para tetamu, rakan kongsi dan pihak berkepentingan di seluruh rantau ini.”
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Istanbul merupakan salah satu destinasi yang mempunyai permintaan yang tinggi oleh para tetamu kami di mana ianya kaya dengan sejarah, budaya dan perdagangan. Dengan perkhidmatan baharu ini, kami bukan sekadar melancarkan sebuah laluan, malah ianya hubungan yang penting antara Asia Tenggara dan Eropah.
“Türkiye telah menyambut lebih 62 juta pelawat antarabangsa pada tahun lepas dan kami teruja untuk menjadikannya lebih mudah diakses serta mampu milik bagi rakyat Malaysia dan pengembara di seluruh rantau Asean, terutamanya dengan perkhidmatan Fly-Thru AirAsia yang meliputi lebih ke 130 destinasi. Penerbangan pertama ini juga tiba pada waktu yang tepat selaras dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam menyokong usaha negara untuk meningkatkan sektor pelancongan dan kesalinghubungan serantau, serta berperanan sebagai langkah penting dalam membina semula rangkaian kami dan mengukuhkan pengoperasian kami dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah dengan menghubungkan lebih ramai orang, lebih kerap dan lebih banyak destinasi
Tuan Yang Terutama Emir Salim Yüksel, Duta Republik Türkiye ke Malaysia berkata: “Hari ini, kami menyambut satu lagi sambungan udara baharu antara dua benua Asia hasil usaha AirAsia X. Saya percaya bahawa hubungan antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen ini bukan sahaja akan menyumbang kepada perkembangan hubungan Türkiye-Malaysia, tetapi juga memperluas perspektif kesalinghubungan global.”
Istanbul terkenal dengan sektor pelancongan halal, gabungan antara elemen warisan dan moden. Terletak merentasi dua benua di Selat Bosphorus yang megah, bandar ini terkenal dengan mercu tanda ikonik seperti Hagia Sophia, Masjid Biru dan Istana Topkapi, pasar yang meriah, gaya hidup urban dan kulinari yang berkembang pesat.
AAX kini terbang ke Istanbul dengan empat penerbangan setiap minggu menawarkan lebih 150,000 tempat duduk setahun dengan tambang bermula daripada RM749* atau USD205* termasuk semua sehala. Tambang promosi kini boleh ditempah mulai hari ini sehingga 30 November 2025, untuk tempoh perjalanan antara sekarang dan 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.
Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Istanbul (SAW):
*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala dan merangkumi caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api dan yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.
**TAMAT**