AirAsia X bekerjasama dengan GEODIS, perkukuh rangkaian logistik di Asia Pasifik untuk pemulihan pantas selepas penstrukturan semula

SEPANG, 26 Januari 2022 - AirAsia X (AAX) hari ini mengumumkan kerjasama logistik udara baharu dengan perkhidmatan pengangkutan dan logistik terkemuka global GEODIS, untuk menyediakan kapasiti kargo tambahan dan meningkatkan pendapatan memandangkan penerbangan komersialnya yang tidak  beroperasi buat masa ini.

Kerjasama ini adalah untuk tempoh enam bulan pertama bermula dari 20 Januari 2022 dan tempoh selanjutnya akan dipertimbangkan. Di bawah kerjasama itu, AAX akan menyediakan penerbangan kargo berjadual khusus secara tetap antara Kuala Lumpur dan Hong Kong, Chennai, Shanghai dan Sydney.

Dengan rangkaian yang luas di Asia Pasifik, kerjasama dengan GEODIS bukan sahaja akan memanfaatkan rangkaian AAX sedia ada, malah akan merangsang trafik kargo udara tambahan di beberapa pasaran di mana kedua-keduanya beroperasi. Melalui model perkhidmatan hab dan agihan termasuk keupayaan untuk menukar mod pengangkutan di kemudahannya di Kuala Lumpur, AAX dapat memanfaatkan rangkaian darat GEODIS yang luas untuk memastikan kargo dari penerbangannya ke Singapura, Malaysia, Thailand dan Vietnam dapat dihantar ke seluruh Asia Tenggara. Dengan penyelesaian pengangkutan mod pelbagai yang bersepadu, GEODIS menyasarkan untuk membantu lebih ramai pelanggan bagi mengelakkan gangguan yang menjejaskan aliran kargo udara dan laut.

Kerjasama inovatif ini adalah yang pertama daripada beberapa kerjasama lain yang akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang. Ini termasuk perkhidmatan kargo jangka pendek penting yang telah diselesaikan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan mewakili pemulihan kewangan selepas kejayaan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata: “Kadar kargo udara akan terus kukuh selagi penerbangan komersial tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini. Perkhidmatan kargo mewakili empat peratus daripada jumlah pendapatan kami sebelum pandemik Covid-19 dan ia telah menjadi talian hayat kami sejak dua tahun lalu. Pada masa hadapan, kami menjangkakan bahawa perkhidmatan kargo akan menyumbang sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus daripada jumlah pendapatan kami. Lebih penting lagi, kami mampu untuk memenuhi lonjakan besar dalam permintaan pengangkutan udara. Kadar penumpang pula dijangka akan mengimbangi sebarang penurunan kadar kargo apabila kami memulakan semula penerbangan berjadual seperti biasa.

“Kami berbesar hati dengan kerjasama baharu bersama GEODIS. Kami telah mengendalikan perkhidmatan carter secara ad hoc untuk mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan kerjasama baharu ini memberi kepastian yang lebih baik mengenai penggunaan pesawat dan keterlihatan pendapatan kami.”

Onno Boots, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Pasifik, GEODIS berkata: “Kini, pengembangan rangkaian pengangkutan bersepadu dengan laluan strategik yang menawarkan pelanggan tahap kecekapan, penyesuaian dan fleksibiliti yang tinggi adalah amat penting. Terutamanya apabila landskap rantaian bekalan semakin kompleks yang mungkin akan menjejaskan jangkaan logistik dan keperluan industri secara menyeluruh.

“Laluan penerbangan intra-Asia Pasifik baharu ini mewakili komitmen berterusan kami untuk menawarkan penyelesaian yang dipercayai, inovatif dan kos efektif serta disesuaikan dengan apa yang diperlukan oleh perniagaan mereka. Ini membolehkan mereka mengoptimumkan sepenuhnya industri e-dagang yang berkembang pesat dan memacu pertumbuhan perniagaan jangka panjang.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan AirAsia X untuk mengukuhkan rangkaian logistiknya.”

***

Mengenai AirAsia X - airasiax.com

AirAsia X (AAX) adalah syarikat penerbangan jarak sederhana dan tambang rendah bersama-sama AirAsia Group yang mengendalikan pesawat badan lebar A330-300. Syarikat penerbangan ini bersama sekutunya Thai AirAsia X (TAAX) telah menerbangkan lebih 19 juta tetamu sejak memulakan perkhidmatan pada 2007. Pada 2021, syarikat penerbangan ini berjaya distruktur semula dan kini melancarkan semula perkhidmatan sebagai syarikat penerbangan gabungan yang fokus kepada perkhidmatan kargo dan penumpang dengan bekerjasama pengendali kargo global. Apabila sempadan antarabangsa dibuka semula, AAX bersedia untuk memulakan operasi dalam pasarannya dengan struktur kos yang mungkin paling rendah berbanding mana-mana syarikat penerbangan sepertinya di seluruh dunia.

Mengenai GEODIS - geodis.com

GEODIS is a top-rated, global supply chain operator recognized for its commitment to helping clients overcome their logistical constraints. GEODIS’ growth-focused offerings (Supply Chain Optimization, Freight Forwarding, Contract Logistics, Distribution & Express, and Road Transport), coupled with the company’s truly global reach thanks to a global network spanning nearly 170 countries, is reflected by its top business rankings: no. 1 in France and no. 7 worldwide. In 2020, GEODIS employed over 41,000 people globally and generated €8.4 billion in revenue.