Capital A lancar IKHLAS, platform gaya hidup patuh Shariah khusus untuk umat Islam

  • IKHLAS merupakan platform utama kembara halal merangkumi pakej pelancongan dan rangkaian penerbangan terluas yang memenuhi keperluan semua peringkat pelancong Muslim 

  • Menawarkan pakej Umrah IKHLAS mampu milik dengan penerbangan terus AirAsia X ke Jeddah dari Kuala Lumpur mulai 16 November 2022

  • Pratonton eksklusif lagu ‘Selawat’ hasil nukilan Datuk Kamarudin Meranun dengan gubahan Sandhy Sondoro

Keterangan Gambar: (Dari kiri) Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia; Dato' Abdel Aziz @ Abdul Aziz bin Abu Bakar, Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Capital A; Sandhy Sondoro, penyanyi dan komposer dari Indonesia; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A; Yang Mulia Tunku Dato' Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, Pengerusi Lembaga Pengarah AirAsia X; Aireen Omar, Presiden (Usahaniaga) Capital A dan Ikhlas Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS pada majlis pelancaran IKHLAS di AirAsia RedQ, KLIA2.

SEPANG, 20 Oktober 2022 - IKHLAS, platform kembara dan gaya hidup mesra-Muslim Capital A yang menawarkan perkhidmatan yang selesa, mampu milik dan mudah diakses khusus bagi umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dan menjalani gaya hidup patuh Shariah telah dilancarkan secara rasminya hari ini.

Antara tawaran perkhidmatan utama IKHLAS adalah pakej Umrah IKHLAS dengan usahasama pengelola umrah berlesen, Ikhlas Com Travel and Umrah Sdn Bhd; dan lebih penting lagi, pengembara Muslim kini boleh melancong dengan yakin bersama IKHLAS yang menawarkan pakej kembara halal yang mampu milik dan disusun khas dengan penerbangan ke seluruh rangkaian destinasi AirAsia.

Pakej kembara IKHLAS yang lengkap turut menawarkan destinasi kegemaran pelancong Muslim iaitu Korea Selatan dengan aktiviti mesra-Muslim sebagai pilihan melancong ke Seoul ketika musim sejuk, musim bunga atau pengalaman ‘Train to Busan’ bermula harga serendah RM3,790. Pengembara Muslim juga boleh melancong ke Bali tanpa gusar tentang pilihan makanan Halal dengan pakej outbound serendah RM390 seorang. Destinasi mesra-Muslim popular lain termasuk Phuket, Bangkok dan Krabi. 

IKHLAS mula beroperasi pada April 2020 dan mengambil peluang dalam tempoh pandemik tersebut untuk memangkin pertumbuhan sebagai platform pelancongan dan gaya hidup mesra-Muslim yang menyeluruh di bawah airasia Super App. Didorong oleh pembukaan semula penerbangan AirAsia X ke Jeddah dan banyak lagi destinasi menarik, IKHLAS kini boleh menawarkan pelbagai pakej umrah dan pelancongan lain yang mampu milik.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan menerusi platform IKHLAS termasuk akses digital kepada amalan berlandaskan syariat Islam seperti ibadah Qurban, Zakat dan perkhidmatan gaya hidup patuh Shariah seperti Aqiqah, Fidyah dan Sadaqah selain ‘Shop with IKHLAS’ dengan lebih 1,000 pilihan produk termasuk kelengkapan ibadah, barangan runcit, fesyen, buku, barang perhiasan dan perkakas rumah.

IKHLAS menawarkan pelbagai pakej Umrah bermula harga serendah RM 5,990. Pakej Umrah Lite, Umrah Jejak Rasul dan Umrah Hawa dengan penerbangan AirAsia X secara terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah dijadualkan berlepas mulai 16 November 2022.

Pakej Umrah Lite serendah RM5,990 selama 9 hari 7 malam dijadualkan berlepas mulai 19 November sementara pakej Umrah Jejak Rasul (RM7,890) selama 12 hari 10 malam berlepas mulai 16 November dan Umrah Hawa (RM7,690) selama 13 hari 11 malam mulai 21 Disember ini.

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata: “Di AirAsia, kami sentiasa berusaha untuk menghubungkan penumpang dengan destinasi pada kadar nilai yang terbaik, dan saya sudah lama merancang untuk mereplikasi kisah kejayaan AirAsia kepada sebuah ekosistem pelancongan yang patuh Shariah. Dengan IKHLAS, kami menggabungkan pelancongan dan tanggungjawab ibadah dalam sebuah platform yang selesa dan mudah diakses untuk pengembara Muslim, agar mereka dapat melancong tanpa was-was.

“Jenama IKHLAS dibina sewaktu dunia dilanda pandemik, apabila semua perniagaan mengalami kesukaran untuk kekal beroperasi jadi kami terpaksa mengubah strategi dan menggunakan salah satu cabang platform IKHLAS iaitu Sadaqah untuk mengumpul dana bagi membantu Muslim di Malaysia dan seluruh dunia ketika mereka dilanda kesusahan,” jelas Datuk Kamarudin yang menubuhkan IKHLAS bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tony Fernandes.

Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata: “Hanya dalam tempoh dua tahun, kami berjaya membangunkan platform IKHLAS untuk memperluaskan lagi khidmat sokongan kepada komuniti dan organisasi Muslim menerusi ekosistem digital dan mentransformasi cara mereka melaksanakan ibadah sebagai umat Islam.”

Tambah Ikhlas: “Selain pakej Umrah yang ditawarkan ketika ini, IKHLAS juga akan memperkenalkan pilihan Pelancongan dan Umrah yang fleksibel di mana para pengguna dan bakal jemaah boleh memilih penerbangan, hotel, aktiviti dan tambahan lain yang khusus memenuhi keperluan golongan Muslimin dan Muslimat.”

Bersempena Rabi’ Ul-Awwal, bulan ketiga dalam kalender Islam dan juga bulan kelahiran Nabi Muhammad (SAW), majlis pelancaran tersebut diserikan lagi dengan pratonton eksklusif ‘Selawat’ oleh penyanyi dan penulis lirik antarabangsa, Sandhy Sondoro dari Indonesia. Lirik lagu berkenaan ditulis oleh Datuk Kamarudin dan digubah oleh Sandhy.

Untuk maklumat lanjut mengenai IKHLAS dan rangkaian produk dan servis yang ditawarkan termasuk pakej-pakej IKHLAS Umrah terbaharu, layari https://ikhlas.com/ms/my/.

###