Capital A umum perbaharui kontrak perkhidmatan CEO Tony Fernandes selama 5 tahun
KUALA LUMPUR, 24 April 2024 – Capital A Berhad, kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pengembaraan terkemuka, hari ini mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, telah menandatangani sebuah kontrak perkhidmatan baharu untuk lima tahun akan datang. Ini membolehkan beliau meneruskan peranan pentingnya di Capital A, dengan fokus terhadap memacu pertumbuhan masa depan dan pulangan kewangan Kumpulan.
Lembaga Pengarah Capital A meluluskan sebuah pakej insentif untuk Fernandes, yang direka untuk menyelaraskan kepentingan CEO dengan kepentingan para pemegang saham, serta memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemapanan Capital A. Peranan beliau merangkumi mengemudi Capital A ke arah membuka kunci nilai pemegang saham yang dipertingkatkan melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan merentas entiti Capital A. Pakej insentif dan butirannya akan dibentangkan kepada pemegang saham untuk kelulusan mereka pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.
Dato Fam Lee Ee, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A Berhad, berkata, “Tan Sri Tony telah menunjukkan kebolehan yang tiada tandingannya untuk berjaya mengubah Capital A dalam memacu pertumbuhan dan memberikan pulangan kewangan, menjadikan beliau memiliki reputasi sebagai salah seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang cemerlang di dalam industri ini. Beliau telah menetapkan Capital A pada laluan strategik yang betul bagi penciptaan nilai yang berterusan, dan Lembaga Pengarah memutuskan adalah demi kepentingan terbaik para pemegang saham untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya sepanjang lima tahun akan datang. Kami yakin, di bawah bimbingan beliau, kami akan mencapai pencapaian yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang.”
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, menyatakan, "Saya teruja untuk memulakan perjalanan melengkapkan transformasi penuh Capital A yang sudah bersedia untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada para pemegang sahamnya berikutan pelupusan perniagaan penerbangannya. Dalam tempoh dua tahun akan datang, pelabur dan pemegang saham akan menyaksikan kebangkitan empat tonggak perniagaan yang kukuh, yang lahir daripada Kumpulan AirAsia. Kesemua perniagaan ini menggembirakan saya, masing-masing bersedia untuk menjadi entiti bebas dengan struktur modalnya yang teguh. Sepanjang lima tahun akan datang, saya membayangkan Teleport, MOVE Digital, Capital A Aviation Services Group (CAPAS), dan Capital A International berkembang menjadi syarikat awam tersenarai berasingan, yang berkongsi DNA asas AirAsia— bercirikan kos rendah, kecekapan tinggi, dan komitmen tanpa henti untuk berdikari dan pengganggu pasaran yang berdaya tahan."
Dengan pengiktirafan yang meluas sebagai salah seorang peneraju industri yang paling transformatif, Tony Fernandes telah memperluas pengaruh Capital A dan Kumpulan AirAsia ke aras yang lebih luas melalui kepimpinan berwawasannya. Beliau menerima dan mengintegrasikan gangguan, inovasi, serta pemerolehan strategik untuk membawa syarikat ke alam kejayaan baharu. Bermula dengan usaha untuk mendemokrasikan perjalanan udara di Asia dan kemudiannya mengembangkan syarikat menjadi sebuah kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pengembaraan terkemuka di peringkat global, usahawan berusia 59 tahun itu telah memainkan peranan penting dalam membentuk syarikat serta industri di rantau Asean. Capital A dengan penuh harapan menanti pertumbuhan yang berterusan, serta merealisasikan pencapaian yang lebih besar di bawah kepemimpinannya yang mahir.
***TAMAT***