Evolusi 19 tahun airasia kepada Asean super app

SEPANG, 8 Disember 2020 - Selepas 19 tahun menerbangkan para tetamu, syarikat penerbangan tambang rendah yang bermula dengan hanya dua buah pesawat telah menjadi pemain industri terkemuka di rantau ini dan kini menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan.

Daripada Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama 11 tahun berturut-turut, airasia telah melengkapkan transformasi digitalnya kepada Asean super app, sebuah aplikasi perjalanan dan gaya hidup digital yang bukan sahaja menawarkan pelbagai perkhidmatan, malah tiket syarikat penerbangan lain.

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif kumpulan airasia

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif kumpulan airasia berkata: “Permulaan kami sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah meragukan ramai pihak, tambahan pula pasaran pada masa itu dikuasai oleh syarikat penerbangan legasi yang menjadikan perjalanan kami lebih mencabar. Hampir dua dekad telah berlalu dan kami bukan sahaja membuktikan bahawa mereka salah; malah kami kini menghubungkan lebih dari 160 destinasi di seluruh Asia Pasifik dan merapatkan jurang di Asean. Dengan operasi syarikat penerbangan di empat buah negara Asean dengan ekonomi terbesar dan merancang untuk menambah operasi pada masa hadapan, tiada syarikat penerbangan lain yang boleh mengungguli Asean daripada kami.

“Di tempat kelahiran kami di Malaysia, kami telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan integrasi antara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dengan menyediakan hubungan tiada tandingannya kepada rakyat tempatan, dan menjadi syarikat penerbangan pertama menghubungkan negara ini ke destinasi-destinasi yang kurang mendapat permintaan seperti Macau dan Bandung. Airasia juga adalah syarikat penerbangan pertama yang mempunyai juruterbang wanita di negara ini, seterusnya meraikan sumbangan dan pencapaian golongan wanita dalam penerbangan.

“Apa yang penting, kami telah membina asas yang kuat bagi masa depan syarikat penerbangan dan perniagaan digital kami bukan sahaja untuk bertahan, malah lebih kukuh daripada sebelumnya. Usaha kami untuk mengubah perniagaan berikutan keadaan yang mencabar ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras Allstars serta maklum balas daripada lebih 600 juta tetamu yang telah terbang bersama kami. Kami akan terus berusaha untuk mengambil semula Allstars yang terpaksa meninggalkan kami berikutan keadaan tidak mengizinkan.”

Tan Sri Tony Fernandes, CEO of airasia Group_1.png

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan airasia berkata: “Keraguan segelintir pihak terhadap kami sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah pada 19 tahun lalu, masih ada apabila kami mengumumkan transformasi digital pada hari ini. Namun, apa yang membezakan kami adalah nilai, pelanggan dan teknologi yang dimiliki, serta usaha berterusan kami untuk menjadikannya realiti. Perjalanan kami masih jauh dan kami mempunyai kepakaran dan idea yang hebat untuk membantu perjalanan kami. Jadi, kami yakin akan kembali lebih kuat dan kukuh selepas Covid-19.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran - seperti Covid-19 - ini bukan pengakhiran tetapi permulaan baharu. airasia akan terus menjadi lebih kuat dan kami akan terus berkembang menjadi yang terbaik di dunia; inilah masanya untuk memulakan, menghidupkan dan membina semula perjalanan kami.

“Pada ulang tahun ke-19 kami hari ini, airasia.com berbangga menjadi super app yang menawarkan tawaran perjalanan dan gaya hidup terkemuka di Asean untuk 17 juta pengguna aktif bulanan yang kian bertambah, memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan dengan perjalanan dan gaya hidup harian seperti makanan dan hasil segar dalam satu platform.

“Cabaran berikutan pandemik Covid-19 pada bulan-bulan yang lepas telah memberi peluang kepada kami untuk memacu transformasi digital kami. Selain airasia.com untuk produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan perjalanan, kami juga mempunyai perkhidmatan e-dagang (airasia shop, airasia food and airasia fresh), Teleport (logistik), Santan (francais restoran makanan segera Asean), BigPay dan BIG Rewards (perkhidmatan teknologi kewangan), serta platform perkhidmatan mesra Muslim IKHLAS.”

AA Museum_1.png

Sempena ulang tahun ke-19 pada tahun ini, airasia hari ini melancarkan Muzium airasia, sebuah arkib dalam talian yang mengumpulkan gambar, dokumen, dan penerbitan yang berkaitan dengan sejarah Kumpulan syarikat tersebut sejak dari tahun 2001 hingga tahun 2020. Muzium maya ini membawa pengunjung melalui peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan digital airasia yang bermula sejak awal tahun 2002, apabila ia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang memperkenalkan tempahan dalam talian secara langsung melalui laman web.

Dalam masa yang sama, airasia telah menaik taraf langkah-langkah keselamatan untuk norma baharu perjalanan udara dengan melancarkan pelbagai inovasi tanpa sentuhan seperti pengecaman wajah biometrik (FACES) dan penyerahan dokumen perjalanan dan kesihatan Scan2Fly dalam talian menjadikan penerbangan bukan sahaja selamat dan berpatutan tetapi juga lebih bersih dan lancar. Pada bulan September, ia melancarkan Asia Digital Engineering sebuah anak syarikat untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan untuk kumpulan syarikat penerbangan airasia serta syarikat penerbangan lain di rantau ini.





Malaysia, News, EnglishM ASepang