Harumanis kini tersedia di Sabah melalui airasia farm

Kenyataan Gambar: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian & Industri Makanan (MAFI) bersama-sama Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif airasia Group dan Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group di majlis peras…

Kenyataan Gambar: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian & Industri Makanan (MAFI) bersama-sama Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif airasia Group dan Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group di majlis perasmian penghantaran pertama mangga Harumanis ke Sabah oleh airasia farm di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

SEPANG, 30 April 2021 - Penggemar mangga Harumanis di Sabah kini boleh mendapatkan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan dengan airasia farm, anak syarikat Airasia.

Penghantaran pertama mangga Harumanis itu ke Kota Kinabalu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) hari ini, menerusi Majlis Flag-Off yang disempurnakan bersama oleh Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Pengerusi Eksekutif Airasia Group Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes.

Flag Off Harumanis ke Sabah ini merupakan sebahagian daripada kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ yang dilancarkan oleh Menteri MAFI pada 11 April lepas di Beseri Perlis bagi mempromosi Harumanis.

Penghantaran pertama yang membawa buah mangga Harumanis berlepas dari klia2 melalui penerbangan AirAsia AK5104 pada jam 10:25 pagi.

Mangga tersebut kemudian akan dihantar ke Tune Hotels Kota Kinabalu sebagai lokasi pengambilan rakan perkhidmatan penghantarnya di Sabah dan airasia farm kemudian akan mengedarkan mangga ini kepada peruncit utama di Kota Kinabalu.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata: “MAFI berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan sektor swasta seperti airasia farm untuk mempromosi kempen ‘Harumanis Kembali Lagi.’

Katanya kerjasama itu bukan sahaja akan memperluas pengedaran Harumanis ke seluruh Malaysia, tetapi juga membawa buah mangga yang cukup eksklusif ini ke Sabah secara rasmi buat pertama kalinya, sejajar dengan penekanan kementerian terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.

Tambahnya pada tahun ini, Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran sebanyak 3,336 tan metrik mangga Harumanis bernilai RM66.7 juta di Perlis.

Daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti airasia food, airasia fresh dan agrobazaar online.

Justeru, itu, kerjasama MAFI dengan airasia farm bukan sahaja akan memperluas pengedaran Harumanis ke seluruh Malaysia, tetapi juga membawa buah mangga yang cukup eksklusif ini ke Sabah buat pertama kalinya dalam skala yang besar.

Beliau berkata industri Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan kepada 2,415 pengusaha harumanis di Perlis, malah mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi serta industri agro-pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara. 

Lalitha Sivanaser, Pengurus Besar airasia farm berkata: “Penghantaran pertama Harumanis sebagai komoditi eksport adalah dengan memanfaatkan ekosistem dan teknologi kumpulan airasia seperti Teleport, dan penggunaan platform e-dagang oleh airasia food dan airasia fresh.

Tambahnya lagi sinergi dengan pihak kementerian ini telah memungkinkan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah dalam masa kurang dari 72 jam setelah tuaian bagi memastikan ianya benar-benar segar dari ladang.

“Kami percaya teknologi dan digitalisasi bukan sahaja akan menambah nilai kepada sektor pertanian malah dapat menambah baik keseluruhan rantaian bekalan industri makanan negara daripada langkah pengeluaran, pengedaran kepada penggunaan.

“Matlamat jangka panjang kami adalah untuk memberikan nilai yang lebih baik dan memberi manfaat kepada ribuan petani Harumanis di Perlis supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih besar untuk tuaian mereka secara dalam talian dan di seluruh rantau ini pada masa hadapan,” katanya

Mangga istimewa dari Perlis ini boleh didapati untuk pesanan dalam talian melalui airasia fresh dan airasia food di Semenanjung Malaysia dan melalui foodpanda di Sabah. Para pelanggan di Semenanjung Malaysia boleh memilih untuk menjadualkan penghantaran mereka pada tarikh akan datang melalui airasia Fresh atau menerima pesanan mereka dalam masa satu jam selepas pembelian melalui airasia food.

Malaysia, News, EnglishM ASepang