Asia Digital Engineering umum pembangunan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat di KLIA Aeropolis

SINGAPURA, 15 Februari 2022 - Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad), hari ini mengumumkan pembangunan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) dengan keluasan binaan lebih 380,000 kaki persegi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Kemudahan kejuruteraan itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 20.25 ekar yang terletak dalam Zon Sokongan Aeronautik KLIA 1 (ASZ 1) di bawah pembangunan Aeropolis KLIA Malaysia Airports. Pembangunan ini akan bermula pada pertengahan tahun 2022 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Apabila siap dibina, kemudahan baharu itu akan dapat menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan berat untuk sehingga 14 buah pesawat komersial pada satu-satu masa, lengkap dengan bengkel komponen khusus dan pusat pembangunan produk digital, menjadikan ADE penyedia perkhidmatan MRO terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di rantau ini.

Majlis pertukaran dokumen antara Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE dan Randhill Singh, Ketua KLIA Aeropolis Sdn Bhd yang disaksikan oleh Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A dan Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A telah berlangsung di Pertunjukan Udara Singapura 2022 pada hari ini. 

Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata: “Pasaran MRO di Asia Tenggara sahaja bernilai lebih AS$4.5 bilion pada tahun 2021 dan industri ini dijangka akan pulih dengan pantas apabila keadaan kembali ke tahap pra-pandemik. ADE bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam industri ini.

“Kemudahan baharu itu juga mampu mengendalikan kedua-dua jenis pesawat iaitu pesawat lorong tunggal dan yang berbadan lebar, dan kami berhasrat untuk mengembangkan keupayaan penyelenggaraan kami bagi merangkumi pesawat jenis lain. Kami yakin dengan prospek keseluruhan ADE untuk memacu industri penyelenggaraan pesawat di Asean di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong ekonomi merentasi rantaian bekalan nilai.  

“Sebagai firma kejuruteraan komprehensif yang disokong oleh pengalaman lebih 20 tahun, ADE berada di landasan yang tepat untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat di rantau ini yang meliputi keseluruhan proses MRO. Ini termasuk penyelenggaraan talian dan asas, bengkel dan perkhidmatan sokongan kejuruteraan di samping penyelesaian digital bersepadu - semuanya berlandaskan semangat AirAsia dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi pada kos terendah dengan masa pemulihan terpantas.

“Kami berterima kasih kepada Malaysia Airports atas sokongan berterusan mereka yang sejajar dengan strategi kami untuk mengukuhkan lagi kedudukan ADE dalam pasaran dan memacu Malaysia menjadi hab strategik utama untuk penyelenggaraan pesawat di rantau ini.”

Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Malaysia Airports berkata: “Antara matlamat pembangunan Aeropolis adalah untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi hab aeroangkasa dan kargo serantau. Bagi tujuan ini, KLIA ASZ 1 adalah kawasan khusus yang memberi tumpuan kepada sokongan aktiviti aeronautik kritikal dan operasi syarikat penerbangan dan pengendali kargo. Antara pengendali terkemuka termasuk anak syarikat Airbus MRO - Sepang Aircraft Engineering, Cainiao Aeropolis eWTP Hub dan DHL Express yang akan datang, manakala pengendali tempatan termasuk syarikat penerbangan tempatan, operator terminal kargo dan pengendali perkhidmatan darat. Kehadiran ADE di ASZ 1 mempelbagaikan lagi keupayaan dan kepakaran yang ada di KLIA. Selain itu, peluang pekerjaan tambahan yang bakal ditawarkan seperti jurutera dan kakitangan teknikal juga akan menyumbang ke arah merangsang ekonomi negara.”

***

Mengenai ADE

Asia Digital Engineering (ADE) ditubuhkan pada tahun 2020 dan merupakan sebuah syarikat milik penuh dan anak syarikat Capital A yang berpangkalan di klia2, Malaysia. ADE ditubuhkan dengan pengalaman terbaik daripada Jabatan Kejuruteraan AirAsia. Ditubuhkan pada tahun 2020, ADE terbentuk hasil pengalaman sebagai pakar kejuruteraan yang menjadi tulang belakang penerbangan AirAsia selama lebih 20 tahun. ADE menawarkan spektrum luas untuk perkhidmatan pesawat seperti penyelenggaraan talian, penyelenggaraan asas, pembaikan dan baik pulih komponen, pengurusan gudang, perkhidmatan teknikal dan organisasi, serta penyelesaian kejuruteraan yang dipacu oleh industri digital dan perkhidmatan sokongan kejuruteraan. Dengan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan menguruskan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, ADE mensasarkan untuk memberikan nilai dan pengalaman pelanggan terbaik  dengan menyediakan standard tertinggi dalam perkhidmatan, kebolehpercayaan dan keselamatan. Untuk maklumat lanjut, layari www.ade.aero.

Mengenai Malaysia Airports

Malaysia Airports merupakan salah sebuah kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia daripada segi jumlah penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. 39 lapangan terbang di Malaysia merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Padang Terbang (STOLports). Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) adalah antara hab penerbangan pilihan rantau ini.