Ketibaan vaksin di Asean dan Asia percepat pemulihan industri perjalanan dunia - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group
SEPANG, 22 Februari 2021 - AirAsia mengalu-alukan laporan ketibaan vaksin COVID-19 yang bakal diterima di seluruh Malaysia bermula dari minggu ini, sebagai penunjuk utama pemulihan industri perjalanan dunia dalam masa terdekat.
Pasaran antarabangsa utama AirAsia juga menunjukkan perkembangan baik menerusi program vaksinasi termasuk Indonesia, Singapura, China dan Australia, sementara negara-negara serantau lain seperti Thailand dan Filipina dijadualkan untuk memulakan program vaksinasi mereka pada suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Setelah setahun tanpa kepastian, akhirnya salah satu cabaran terbesar yang kita hadapi bakal diatasi.
“AirAsia telah memanfaatkan keadaan semasa untuk melaksanakan inisiatif digital dan teknologi inovatif untuk menjadikan perjalanan udara lebih selamat dan lancar selepas COVID-19. Selain itu, ujian yang lebih baik, gelembung perjalanan, ubat antiviral dan pasport kesihatan digital sebagai satu alat untuk merekodkan status kesihatan di seluruh Asean dan negara-negara lain juga dijangka bakal tersedia untuk menyokong pemulihan industri perjalanan global.
“Saya yakin AirAsia akan pulih lebih cepat berikutan model perniagaan tambang rendah, kedudukan di pasaran dan transformasi digital kami sebagai aplikasi perjalanan dan gaya hidup terkemuka di Asia, yang telah membantu mengurangkan kesan buruk daripada wabak ini kepada syarikat.
“Kami telah menghadapi pelbagai krisis pada sebelum ini seperti memulakan syarikat selepas tragedi 9/11, wabak selesema burung SARS, tsunami, gempa bumi, dan lain-lain tetapi COVID-19 adalah cabaran terbesar kami.
“Kami tidak pernah melihat sekatan perjalanan global seperti pada hari ini. Setelah setahun membendung kos operasi termasuk menamatkan operasi di Jepun dan mengurangkan kepentingan kami di India, akhirnya kami dapat melihat perkembangan positif.
“Saya tetap optimis bahawa kami akan mencapai sasaran pengumpulan dana sebanyak RM2.5 bilion. Tawaran saham persendirian sehingga 20% daripada jumlah saham terbitan AirAsia Group Berhad telah selesai pada minggu lalu. Sebanyak 11.07% tawaran diterima berjumlah RM250 juta, menunjukkan keyakinan pasaran dan pelabur yang kukuh terhadap syarikat.
“Kami berusaha untuk mendapatkan kelulusan pinjaman di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin pada bulan hadapan. Dalam masa yang sama, kami mengadakan perbincangan positif untuk mengumpul dana di pasaran utama kami seperti Thailand, Indonesia dan Filipina yang akan diumumkan pada masa akan datang. Kami turut mempertimbangkan pengumpulan modal dan sokongan kewangan lain termasuk pengumpulan modal untuk entiti digital kami. Kami berharap langkah-langkah ini akan lebih jelas dan dapat dicapai pada akhir bulan Mac.
“Sepanjang cabaran yang dilalui, saya berbangga kerana telah memimpin Allstars yang berdaya tahan melalui masa yang paling sukar. Kini, saya teruja untuk memimpin mereka melalui pemulihan syarikat yang kini merupakan sebuah syarikat perjalanan, teknologi dan gaya hidup dengan aplikasi super pilihan di Asia. Kami menantikan pemulihan secara beransur-ansur pada tahun 2021 di semua pasaran utama kami dan potensi pemulihan sepenuhnya dalam masa dua tahun akan datang.”
AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan pada tahun 2020 untuk mempercepatkan transformasi digitalnya sebagai lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dengan pengenalan produk baharu yang menyediakan aliran pendapatan baharu termasuk airasia super app, logistik, e-dagang, teknologi kewangan, selain prosedur dan inovasi baharu seperti teknologi pengecaman wajah biometrik untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.