Nasihat Perjalanan: AirAsia kemas kini peraturan penggunaan dan pengecasan bateri mudah alih untuk penerbangan lebih selamat

SEPANG, 26 Mac 2025 - AirAsia mengemas kini peraturan larangan penggunaan dan pengecasan bateri mudah alih (power bank) di dalam semua penerbangannya mulai 1 April 2025. Langkah ini selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan global bagi mengurangkan risiko insiden berkaitan bateri semasa penerbangan.

Para tetamu digalakkan untuk memastikan bateri mudah alih yang dibawa mematuhi peraturan syarikat penerbangan sebelum tiba di lapangan terbang bagi melancarkan proses daftar masuk dan menaiki pesawat. Tetamu hanya dibenarkan membawa bateri mudah alih yang tidak melebihi 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 milliampere-jam (mAh). Bateri mudah alih antara 100Wh dan 160Wh memerlukan kelulusan syarikat penerbangan di kaunter daftar masuk.

Bagi tujuan keselamatan:

  • Bateri mudah alih mesti disimpan di dalam poket tempat duduk di hadapan atau di bawah tempat duduk.

  • Bateri mudah alih dilarang disimpan di dalam ruang penyimpanan atas.

  • Bateri mudah alih dilarang digunakan sepanjang penerbangan.

  • Bateri mudah alih dilarang digunakan untuk mengecas peranti elektronik mudah alih lain sepanjang penerbangan.

  • Bateri mudah alih dilarang dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk dan mesti dibawa ke dalam kabin.

Bagi memastikan pematuhan yang lebih efektif, AirAsia akan mempamerkan peringatan keselamatan di kaunter daftar masuk serta membuat pengumuman semasa menaiki pesawat dan di dalam penerbangan. AirAsia terus komited untuk mengekalkan keselamatan tertinggi selaras dengan amalan terbaik industri bagi melindungi para tetamu, kru kabin dan pesawat daripada sebarang risiko.

Syarikat penerbangan menghargai kerjasama para tetamu dalam mematuhi keperluan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan perjalanan lebih selamat dan selesa kepada semua.

Untuk maklumat lanjut mengenai barangan yang dilarang dibawa dalam bagasi bagi kod penerbangan lain, sila rujuk di sini.