Nasihat perjalanan AirAsia sempena minggu sambutan Hari Kebangsaan ke-68

SEPANG, 25 Ogos 2025 - AirAsia menggalakkan para tetamu yang melakukan perjalanan semasa minggu sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 untuk membuat perancangan awal bagi memastikan perjalanan lebih lancar. Bersempena dengan sambutan tersebut, ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur akan ditutup sementara dari 26 hingga 28 Ogos (11 pagi - 12 tengah hari) serta pada 29 dan 31 Ogos 2025 (8.45 pagi - 9.45 pagi) bagi melancarkan raptai dan lintas hormat udara Hari Kebangsaan di Putrajaya. 

Para tetamu digalakkan untuk mengikuti nasihat perjalanan di bawah untuk pengalaman perjalanan lebih lancar:

  • Daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp) adalah percuma dan tersedia seawal 14 hari hingga satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk mendapatkan pas masuk elektronik.

Sila ambil maklum:

  • Muat turun aplikasi AirAsia MOVE melalui Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei AppGallery bagi mendapatkan informasi terkini mengenai tempahan penerbangan yang dilakukan termasuk kemaskini penerbangan melalui pautan ‘Flight Status’ pada aplikasi tersebut.

  • Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter hanya tersedia untuk tetamu kurang upaya, tetamu yang melakukan perjalanan bersama bayi (di bawah umur 24 bulan), tetamu yang hamil, warga emas dan remaja yang melakukan perjalanan sendirian.

  • Tetamu yang hamil hendaklah mengisi borang di kaunter sebelum menaiki pesawat. Tetamu yang hamil lebih dari 27 minggu dikehendaki untuk mengemukakan sijil perakuan sah oleh doktor kesihatan.

  • Para tetamu kurang upaya boleh membuat pra-tempahan Bantuan Khas (Perkhidmatan Kerusi Roda) semasa membuat tempahan penerbangan atau melalui pautan  ‘My Booking’ pada aplikasi AirAsia MOVE sekurang-kurangnya empat (4) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.                                                                                                                                                   

  • Pra-tempah hidangan di dalam penerbangan sehingga 24 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk menikmati lebih penjimatan sehingga 44 peratus dan untuk memastikan ianya tersedia serta perkhidmatan diutamakan.

  • Bagi penerbangan antarabangsa, para tetamu hendaklah memenuhi keperluan perjalanan seperti visa dan transit ke setiap negara yang bakal dituju. Keperluan ini mungkin berubah dari semasa ke semasa dan para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan terkini dengan pihak kedutaan atau konsulat masing-masing.

  • Tiba awal di lapangan terbang (sekurang-kurangnya dua (2) jam lebih awal bagi penerbangan domestik dan tiga (3) jam bagi penerbangan antarabangsa). Kaunter daftar masuk akan ditutup satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Terminal 2) dan 45 minit sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan bagi penerbangan domestik di lapangan terbang lain di seluruh Malaysia.

  • Guna pas masuk elektronik pada aplikasi AirAsia MOVE untuk menaiki pesawat tanpa perlu mencetak pas masuk fizikal. Pas masuk elektronik ini diterima di kebanyakan lapangan terbang di seluruh dunia, termasuk semua lapangan terbang di Malaysia di mana AirAsia beroperasi.

  • Guna kiosk tanpa sentuh di lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan daftar masuk bagasi kendiri. Setelah mendaftar masuk secara kendiri, imbas kod QR pada pas masuk elektronik di kiosk lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan terus ke kaunter penurunan bagasi kendiri untuk mendaftar masuk bagasi tersebut. Para tetamu juga boleh menempah elaun bagasi sehingga empat (4) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan melalui aplikasi AirAsia MOVE.

  • Pastikan bagasi kabin mematuhi syarat saiz dan berat yang betul. Setiap tetamu hanya dibenarkan membawa satu beg kabin (tidak lebih daripada saiz 56 x 36 x 23cm) dan/atau satu beg laptop ATAU beg tangan ATAU beg kecil di atas pesawat. Jumlah keseluruhan berat yang dibenarkan untuk bagasi kabin harus tidak melebihi 7kg.

  • Guna aplikasi MyBorderPass yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store untuk memudahkan proses pelepasan imigresen di KLIA Terminal 2, di mana AirAsia beroperasi. Ciri ini tersedia secara eksklusif untuk pemegang pasport Malaysia.

Selamat Hari Kebangsaan ke-68 daripada AirAsia!