Nasihat Perjalanan AirAsia sempena Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Haji
SEPANG, 27 Mei 2025 – AirAsia ingin menasihatkan para tetamu yang akan melakukan perjalanan semasa musim perayaan akan datang iaitu Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Haji dari 27 Mei hingga 9 Jun 2025 untuk merancang perjalanan dan tiba lebih awal di lapangan terbang bagi memastikan kelancaran proses perjalanan sepanjang tempoh puncak ini.
Bagi memastikan pengalaman perjalanan lebih lancar, para tetamu dinasihatkan untuk:
Tiba awal di lapangan terbang, sekurang-kurangnya dua (2) jam sebelum penerbangan domestik dan tiga (3) jam sebelum penerbangan antarabangsa bagi melengkapkan semua proses daftar masuk dan keselamatan. Sila ambil maklum bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) dan 45 minit sebelum waktu perlepasan bagi lapangan terbang lain di Malaysia untuk penerbangan domestik.
Lakukan daftar masuk kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE. Perkhidmatan ini tersedia seawal 14 hari hingga satu (1) jam sebelum waktu perlepasan.
Sila ambil maklum:
Muat turun aplikasi AirAsia MOVE melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery untuk mendapatkan maklumat perjalanan terkini, termasuk status penerbangan di bawah tab ‘Flight Status’.
Perkhidmatan kaunter daftar masuk hanya disediakan untuk tetamu berikut: tetamu kurang upaya, tetamu yang membawa bayi (bawah 24 bulan), tetamu hamil, warga emas dan remaja yang melakukan perjalanan secara bersendirian.
Tetamu hamil perlu mengisi borang di kaunter sebelum menaiki pesawat. Tetamu yang berusia kandungan lebih 27 minggu dikehendaki mengemukakan sijil perakuan kesihatan yang sah daripada doktor.
Tetamu dengan keperluan mobiliti khas boleh membuat pra-tempahan Perkhidmatan Bantuan Khas (perkhidmatan kerusi roda) semasa membuat tempahan penerbangan atau melalui pautan ‘My Bookings’ dalam aplikasi AirAsia MOVE sekurang-kurangnya empat (4) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.
Bagi penerbangan antarabangsa, para tetamu mestilah memenuhi semua keperluan kemasukan dan visa bagi negara yang dituju mahupun transit. Keperluan ini mungkin berubah dari semasa ke semasa dan disarankan untuk menyemak maklumat terkini dengan kedutaan atau konsulat negara berkenaan.
Aplikasi AirAsia MOVE kini membolehkan para tetamu memuat naik Visa dan mendapatkan pas masuk lengkap tanpa perlu beratur, menjadikan proses daftar masuk lebih mudah dan efisien.
Gunakan e-Boarding Pass dalam aplikasi AirAsia MOVE untuk menaiki pesawat tanpa perlu mencetak pas masuk fizikal. Pas ini diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di kebanyakan lapangan terbang antarabangsa yang dikendalikan oleh AirAsia.
Gunakan kiosk di lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan membuat daftar masuk bagasi secara kendiri. Setelah daftar masuk, hanya imbas kod QR pada pas masuk elektronik di kiosk untuk mencetak tag bagasi dan terus ke kaunter penurunan bagasi kendiri. Tambahan atau penambahan elaun bagasi boleh dibuat sehingga empat (4) jam sebelum pelepasan melalui aplikasi AirAsia MOVE.
Pastikan saiz dan berat bagasi kabin mematuhi had yang ditetapkan. Setiap tetamu hanya dibenarkan membawa satu (1) beg kabin (tidak melebihi 56 x 36 x 23cm) dan/atau satu (1) beg komputer riba ATAU beg tangan ATAU beg kecil dengan jumlah berat keseluruhan tidak melebihi 7kg.
Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan, Selamat Ari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai dan Selamat Hari Raya Haji daripada AirAsia!