Nikmati kadar perkhidmatan penghantaran pantas, mudah dan terendah dengan airasia xpress
KUALA LUMPUR, 23 November 2021 - Platform gaya hidup digital dan perjalanan yang berkembang paling pesat di rantau ini, airasia Super App hari ini melancarkan airasia xpress - perkhidmatan terbaharu iaitu penghantaran barangan pantas, mudah dan dengan harga berpatutan kepada pengguna. Perkhidmatan airasia xpress dikuasakan oleh Teleport, cabang logistik airasia.
Sebagai permulaan, airasia xpress akan meliputi Lembah Klang dan enam bandar utama lain di seluruh negara iaitu Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu. Penghantaran antara bandar, antara negeri dan antarabangsa pula akan menyusul tidak lama lagi.
Berjuta-juta pengguna airasia Super App kini boleh memilih antara perkhidmatan penghantaran segera (di bawah satu jam) dan penghantaran pada hari yang sama (dalam masa 4-6 jam) menggunakan motosikal dan kereta.
Di bawah airasia xpress, perkhidmatan penghantaran dipermudahkan dengan hanya 4 langkah: Klik ikon “Xpress” pada airasia Super App, isikan butiran tempat pengambilan dan tempat penghantaran, pilih kaedah pembayaran dan sahkan tempahan anda.
airasia xpress dilancarkan hari ini oleh Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, bersama Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport dan Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Dagang), airasia Super App.
Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata, “Di airasia, kami terus berinovasi untuk menawarkan kemudahan, nilai dan peluang untuk berjuta-juta pengguna aplikasi ini. Sebagai sebuah aplikasi penggunaan harian, airasia Super App menjadikan kehidupan para pengguna lebih mudah melalui pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan dan memastikan semua transaksi dalam talian terjamin dan selamat”
Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Commerce), airasia Super App berkata, “Dalam tempoh pemulihan selepas pandemik ini, kami percaya ramai orang akan memerlukan perkhidmatan penghantaran yang cekap dan berpatutan, yang mana ini adalah salah satu kekuatan AirAsia. Menggabungkan kemudahan dan jangkauan rangkaian kami di seluruh Asean dan lain-lain, airasia xpress akan menyokong individu dan perniagaan mikro dengan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan mudah. Usahawan sosial khususnya akan mendapat manfaat besar daripada tawaran kami untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam pasaran e-dagang yang berkembang pesat dan dikendalikan oleh peniaga barangan baharu dan terpakai dari rumah. Kami juga komited untuk memberikan lebih perhatian kepada semua barangan di bawah perkhidmatan kami supaya para pelanggan akan terus menerima nilai hebat. Kami percaya airasia xpress akan menjadi perkhidmatan yang terbaik dan unik.”
Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport berkata, “Sebagai penyedia perkhidmatan logistik secara menyeluruh - matlamat kami bukan sahaja untuk menghubungkan bandar ke bandar tetapi juga bandar ke kediaman. Misi Teleport adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang bukan sahaja berpatutan tetapi pantas, untuk memenuhi permintaan pasaran. Memandangkan kelajuan penghantaran merupakan aspek penting dalam strategi e-dagang, penambahan perkhidmatan airasia xpress baharu ini yang dikuasakan oleh Teleport bakal menjadi pemangkin dalam industri dan memperkukuh komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan lebih baik, pantas dan berpatutan.”
Sempena pelancaran ini, pengguna airasia xpress boleh menikmati diskaun pengenalan istimewa selama 72 jam untuk penghantaran segera secara percuma yang dihadkan pada RM10 dari 23-25 November 2021.
Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.