Orbis International dan AirAsia menjalin kerjasama strategik jangka panjang bagi memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan mata di seluruh Asia Pasifik
AirAsia akan menawarkan sokongan tambang penerbangan serta memanfaatkan jangkauan serantaunya bagi membantu Orbis memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan mata di peringkat tempatan, memacu inovasi, dan memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti
AirAsia akan menawarkan sokongan tambang penerbangan serta memanfaatkan jangkauan serantaunya bagi membantu Orbis memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan mata di peringkat tempatan, memacu inovasi, dan memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti.
NEW YORK, Amerika Syarikat, 4 Ogos 2026 — Orbis International, sebuah organisasi antarabangsa yang memperkasakan penjagaan kesihatan mata, dan AirAsia Group (dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad) hari ini mengumumkan kerjasama strategik jangka panjang bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan mata serta memperluas akses yang mampan kepada perkhidmatan penjagaan mata berkualiti di seluruh rantau Asia Pasifik.
Menerusi kerjasama ini, AirAsia akan menyediakan sokongan tambang penerbangan bernilai USD100,000 setahun bagi tempoh lima tahun akan datang untuk membantu pasukan Orbis bekerjasama dengan hospital tempatan, kementerian kesihatan, institusi latihan serta profesional penjagaan kesihatan mata di seluruh rantau ini. AirAsia juga akan menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kehilangan penglihatan yang boleh dicegah serta kepentingan melabur dalam sistem penjagaan kesihatan mata yang mampan.
Kerjasama ini hadir pada masa yang amat penting bagi penjagaan kesihatan mata di Asia Pasifik, susulan peningkatan populasi, pertambahan kes penyakit kronik, kekurangan tenaga kerja terlatih serta jurang akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti. Keadaan ini meningkatkan keperluan terhadap penyelesaian yang mampan, boleh diperluaskan dan diterajui secara tempatan. Orbis telah melaksanakan program penjagaan kesihatan mata di seluruh Asia, termasuk di Bangladesh, China, India dan Vietnam srta negara-negara yang turut menjadi sebahagian daripada rangkaian operasi AirAsia.
Selama lebih 40 tahun, Orbis telah menerajui inovasi dalam bidang penerbangan dan penjagaan kesihatan mata menerusi Flying Eye Hospital, sebuah hospital pengajaran oftalmologi yang beroperasi di dalam pesawat. Kerjasama bersama AirAsia ini akan memperkukuh impak jangka panjang Orbis dalam usaha globalnya memperluas akses kepada penjagaan mata daripada Flying Eye Hospital kepada Cybersight, platform teleperubatan dan pembelajaran digitalnya, serta program jangka panjang di peringkat negara dan kerjasama bersama rakan tempatan. Kesemua inisiatif ini memberi tumpuan kepada membina impak mampan melalui inovasi, teknologi, pembangunan tenaga kerja tempatan dan pengukuhan sistem kesihatan.
Dengan menggabungkan jaringan serantau AirAsia bersama kepakaran global, platform digital serta program diterajui komuniti tempatan oleh Orbis, kerjasama ini akan membantu mendekatkan perkhidmatan penjagaan mata kepada mereka yang memerlukannya, di samping menyokong kemajuan mampan dalam penjagaan kesihatan mata di seluruh Asia Pasifik.
Kathleen Sherwin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Orbis International berkata: “Kami amat menghargai AirAsia kerana menyertai Orbis dalam kerjasama strategik ini yang memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata serta memperkukuh akses kepada perkhidmatan penjagaan mata berkualiti di seluruh rantau Asia Pasifik.”
“Bersama-sama, kita dapat memperkukuh kapasiti tempatan, menghubungkan pasukan penjagaan mata dengan latihan dan teknologi, serta menyokong pembangunan sistem mampan yang terus memberi manfaat kepada komuniti walaupun selepas sesuatu projek selesai. Inilah cara kita mencipta impak berpanjangan melalui kerjasama ini, inovasi dan komitmen bersama untuk memastikan lebih ramai individu mendapat akses kepada penjagaan yang diperlukan bagi melihat, belajar, bekerja dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.”
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group berkata: “Di AirAsia, tujuan kami sentiasa melangkaui sekadar menghubungkan destinasi. Kami amat berbangga dapat menyokong Orbis melalui kerjasama strategik yang bermakna ini. Dengan menggabungkan jaringan serantau AirAsia bersama kepakaran Orbis, kami dapat membantu mendekatkan akses kepada penjagaan mata yang mampu mengubah kehidupan, latihan serta teknologi kepada komuniti yang paling memerlukannya. Kami berharap dapat membina kerjasama jangka panjang yang terus memperkukuh rantau Asia Pasifik, yang menjadi tempat kami beroperasi dan kami banggakan.”
Dengan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan mata berkualiti di seluruh Asia Pasifik, Orbis terus komited menangani cabaran ini melalui penyelesaian mampan yang memberi impak jangka panjang. Dengan sokongan AirAsia, Orbis dapat mendekatkan kepakaran, latihan dan teknologi kepada komuniti yang paling memerlukannya, sekali gus membuka peluang untuk memperkukuh akses kepada penjagaan mata hari ini serta membina sistem kesihatan mata yang lebih berdaya tahan untuk masa hadapan.
###
Mengenai Orbis International
Orbis International ialah sebuah organisasi global yang berusaha mencegah kebutaan dan memulihkan penglihatan kanak-kanak serta orang dewasa, khususnya di kawasan yang kekurangan akses kepada penjagaan mata. Dengan matlamat memastikan masalah penglihatan tidak menghalang seseorang daripada belajar, bekerja dan menjalani kehidupan yang lebih baik, Orbis melatih profesional penjagaan mata serta bekerjasama dengan hospital dan klinik tempatan untuk memperluas akses kepada rawatan berkualiti. Selama lebih 40 tahun, Orbis menerajui inovasi dalam penjagaan mata menerusi Flying Eye Hospital, sebuah hospital pengajaran oftalmologi bertauliah di dalam pesawat, serta platform digital Cybersight yang menyediakan latihan dan telekesihatan. Melalui penggunaan teknologi, pembangunan tenaga kerja tempatan dan kerjasama global, Orbis terus membina sistem penjagaan mata yang lebih mampan di seluruh dunia.
UNTUK PERTANYAAN MEDIA
Orbis International
Jenna Montgomery
Pemangku Ketua, Komunikasi dan Pemasaran Global
jenna.montgomery@orbis.org
AirAsia Group
communications@airasia.com
***Tamat***