Pemenang Hackathon diumumkan di LIMA 2019

IMG_8480.PNG

LANGKAWI, 27 Mac 2019 - AirAsia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini mengumumkan pemenang pertandingan hackathon Aviatar 2019 di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Diumumkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknologi dan Digital) AirAsia Aireen Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Lokman Hakim Ali, pasukan BringFly dari Universiti Malaya dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama untuk idea mereka menangani cabaran dalam industri penerbangan di masa depan.

Pasukan BringFly mengetengahkan idea sebuah robot untuk melakukan pemeriksaan dan pembersihan dalam penerbangan secara serentak. Lengkap dengan teknologi pengecaman imej, robot tersebut dapat memeriksa jaket keselamatan disimpan dengan betul, melakukan tugas pembersihan umum kabin seperti memvakum, dan mengenal pasti isu-isu lain kepada kru kabin. Penyelesaian ini akan membantu meminimumkan masa yang diperlukan untuk pemeriksaan kabin pesawat, seterusnya membantu mengoptimumkan prestasi masa bagi syarikat penerbangan (OTP).

Pasukan BringFly berpeluang untuk melawat beberapa buah syarikat aeroangkasa di Perancis untuk mengembangkan idea mereka. Lawatan tersebut disokong oleh GIFAS ke syarikat-syarikat seperti Airbus, Air France Industries, Daher, Safran, Thales, WeAre Group dan SEMIA. Pemenang tempat kedua, pasukan 5G dan ketiga, pasukan Deltas pula berpeluang untuk melawat syarikat-syarikat aeroangkasa terkemuka di Malaysia dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar berkata, “Kami amat kagum dengan keupayaan para pelajar ini mencipta idea kreatif dan teknikal. Mereka telah menunjukkan pemikiran yang inovatif dan kami berharap dapat melihat bagaimana idea-idea ini boleh mengubah industri penerbangan di masa hadapan.”

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Lokman Hakim Ali berkata “Aviatar 2019 menyediakan platform terbaik kepada para pelajar universiti dan sekolah menengah untuk mencipta idea, memupuk kreativiti dan berinovasi dalam membangunkan solusi yang pintar untuk industri penerbangan. Usaha ini selaras dengan inisiatif Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menekankan kepada Penyelidikan dan Teknologi yang diketuai oleh peneraju industri untuk membentuk kecekapan baharu.”

Pertandingan hackathon yang direka untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam industri aeroangkasa ini disertai oleh lebih daripada 300 orang pelajar tempatan untuk mengasah pemikiran digital dalam topik masa hadapan industri penerbangan.

Aviatar 2019 dianjurkan oleh AirAsia bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC), dan Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis (GIFAS), serta Universiti Nottingham Malaysia, Invest Selangor, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO).

Malaysia, News, EnglishM A