Penjelasan AirAsia X mengenai klasifikasi pengguna sebagai pemiutang dan kelayakan mereka
SEPANG, 15 November 2021 - AirAsia X (AAX) ingin menjelaskan laporan media mengenai klasifikasi pengguna dan kelayakan mereka di bawah Skim Pengaturan (Skim) yang disokong oleh 99% daripada semua pemiutang.
Keutamaan kami adalah untuk penstrukturan semula dan permodalan semula AAX secara menyeluruh supaya ia boleh kembali beroperasi sebagai salah satu pengendali penerbangan tambang murah jarak sederhana terkemuka di dunia. Justeru, fokus kami kepada pengumpulan modal baharu adalah penting kerana AAX tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada mana-mana pihak luar semasa pandemik ini atau pada bila-bila masa sebelum ini. Oleh itu, syarikat penerbangan ini harus membina semula platform yang kukuh untuk masa depan yang mampan dan berdaya maju supaya pelabur baharu akan bersedia untuk menyuntik modal baharu.
Pemiutang kami yang terdiri daripada pemiutang yang besar, mengundi dengan hampir sebulat suara pada 12 November bagi memberi kami peluang untuk terus beroperasi dan pulih dengan lebih kukuh, kerana kami melakukannya demi kepentingan terbaik untuk mereka. Begitu juga, adalah demi kepentingan terbaik para pengguna untuk membenarkan kami terbang semula supaya kami boleh kembali menawarkan kredit perjalanan mereka. Secara ringkas, satu-satunya pilihan yang ada selain penstrukturan semula ini adalah penutupan syarikat yang merupakan kerugian bagi semua, tanpa sebarang peluang untuk mendapatkan semula sebarang hutang mereka sekiranya kami tidak berjaya dalam penstrukturan semula ini.
Kami juga mengambil maklum banyak laporan mengenai klasifikasi pengguna sebagai pemiutang. Dalam penyata kewangan, selain menjadi pemegang saham, hanya terdapat dua kategori lain. Mereka adalah penghutang jika mereka berhutang kepada syarikat atau pemiutang jika syarikat berhutang kepada mereka. Adalah jelas bahawa syarikat ini berhutang kepada para pengguna yang mempunyai jumlah tertunggak yang terhutang kepada mereka. Justeru, mereka diklasifikasikan sebagai pemiutang.
Kami ingin memberi jaminan kepada para tetamu yang terjejas oleh penstrukturan semula ini bahawa AAX akan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit, yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula selain nilai hutang sebanyak 0.5% dan kelayakan berasaskan tunai lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun seperti yang dinyatakan dalam Penyata Penjelasan yang dihantar kepada semua pemiutang baru-baru ini. Sila ambil maklum bahawa kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika AAX berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat-syarat Skim tersebut. Jika syarat-syarat Skim tersebut tidak dipatuhi dan gagal dilaksanakan, AAX akan dibubarkan dan para pengguna tidak akan menerima sebarang kelayakan dan AAX memilih untuk tidak meletakkan mereka dalam situasi ini.
Dasar AAX adalah selaras dengan pengendali industri pelancongan di seluruh dunia dan mematuhi sepenuhnya semua keperluan kawal selia di setiap negara yang kami beroperasi.
Kami juga terus mengadakan dialog dengan semua pengawal selia pengguna di seluruh rantau ini untuk memastikan pematuhan dan perakuan ISO dalam pengurusan aduan pelanggan, yang merupakan penanda aras global untuk mengekalkan piawaian tertinggi.