Peranti elektronik mudah alih kini boleh digunakan dalam penerbangan AirAsia Malaysia
Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia terus menambah baik dan berinovasi untuk menawarkan pengalaman perjalanan terbaik
SEPANG, 2 Oktober 2022 - AirAsia Malaysia (AK) hari ini mengumumkan bahawa penggunaan peranti elektronik mudah alih (PED) kini boleh digunakan dalam penerbangannya. Para tetamu tidak lagi perlu mematikan peranti mereka sepanjang dalam penerbangan AK kecuali semasa perlepasan.
Sebelum ini, peranti elektronik seperti tablet dan telefon pintar hanya boleh digunakan setelah pesawat berlepas dan perlu dimatikan sebelum mendarat. Pengumuman hari ini membolehkan tetamu menggunakan peranti mereka sepenuhnya dan memanfaatkan aplikasi airasia Super App sepanjang penerbangan kecuali semasa perlepasan. Tetamu juga dibenarkan menggunakan fungsi penuh peranti elektronik mereka sebelum berlepas atau mendarat, tetapi harus menggunakan mod penerbangan semasa di udara.
Keselamatan dan kesejahteraan para tetamu kekal menjadi keutamaan AirAsia dan kru kabin AirAsia akan membimbing tetamu melalui pengumuman dalam penerbangan mengenai sebarang perubahan.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited berkata: “Kami telah mendapat beberapa pengiktirafan besar pada bulan ini termasuk memenangi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk kali ke-13 dan memecah rekod jualan pasca Covid tertinggi pada minggu lalu. Kami berbesar hati untuk anugerah ini dan akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Matlamat utama kami dalam memacu perkhidmatan penerbangan tambang rendah hampir 21 tahun lalu adalah bukan sahaja untuk menjadikan penerbangan lebih mudah diakses oleh orang ramai dengan tambang berpatutan, malah untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan menyeronokkan. Justeru, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa para tetamu kini boleh menggunakan peranti elektronik mudah alih mereka di dalam penerbangan kami. Kebenaran penggunaan peranti elektronik ini akan memperkukuh lagi usaha kami dalam mendigitalkan dan meningkatkan pengalaman penerbangan serta menawarkan kebolehcapaian yang sama di udara dan darat.
“Memandangkan kebanyakan pesawat kami dilengkapi dengan airasia WiFi, kami berbesar hati kerana ia akan memberi pilihan kepada tetamu melayari internet untuk perniagaan atau percutian mereka semasa berada di dalam pesawat. Kami menggalakkan semua tetamu untuk mematuhi piawaian keselamatan semasa menaiki penerbangan kami, dan perlu diingatkan bahawa penggunaan peranti ini hanya tidak dibenarkan semasa perlepasan.
“Walaupun inisiatif ini hanya terpakai untuk penerbangan oleh AirAsia Malaysia (AK) buat masa ini, kami berharap dapat memperkenalkan ciri ini kepada tetamu di semua syarikat penerbangan lain di bawah kumpulan kami dalam masa terdekat. Sebagai syarikat penerbangan pilihan ramai, kami mengambil maklum permintaan para tetamu kami dan akan menyediakan lebih banyak inovasi dan peningkatan yang akan diumumkan tidak lama lagi!”
Ikuti perkembangan terkini mengenai penerbangan, perjalanan, gaya hidup dan banyak lagi melalui @flyairasia di Instagram atau @airasia di Twitter dan WeChat/Weibo untuk mendapatkan kemas kini terkini.