Pertandingan Hackathon pupuk inovasi dan kreativiti dalam industri aeroangkasa
SEPANG, 1 Mac 2019 - AirAsia dan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini melancarkan pertandingan hackathon baharu yang direka untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam industri aeroangkasa.
Pertandingan selama tiga hari yang juga dikenali sebagai Aviatar 2019 tersebut dianjurkan dengan kerjasama oleh University of Nottingham Malaysia. Ia bakal disertai oleh lebih daripada 300 orang pelajar kolej dan universiti yang akan mengasah pemikiran digital dalam topik masa hadapan industri penerbangan.
Setiap kumpulan yang mempunyai lima orang ahli akan membentangkan konsep kerja mereka kepada panel yang terdiri daripada pakar teknologi dan industri penerbangan. Lima kumpulan teratas akan bersaing di Pusingan Akhir Aviatar 2019 di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA).
Pemenang tempat pertama bagi pusingan akhir akan merangkul hadiah berupa tiket penerbangan dan lawatan ke Perancis untuk melawat syarikat aeroangkasa. Pemenang tempat kedua dan ketiga pula berpeluang untuk memenangi lawatan ke syarikat aeroangkasa di Jepun dan Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar berkata, “Kami berbangga untuk menyediakan peluang kepada para pelajar di Malaysia untuk turut serta dalam inisiatif digital kami. Industri ini bergantung kepada idea dan bakat terbaik, terutamanya AirAsia yang kini berubah menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan. Justeru, kami percaya kami akan menemui banyak potensi ini di Aviatar 2019.”
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata, “Kami berbesar hati untuk mengajurkan pertandingan ini bersama AirAsia. Industri penerbangan dan aeroangkasa bakal berkembang kepada Industri 4.0 dan kami percaya pertandingan ini dapat mendedahkan para pelajar kepada informasi penting, trend dan matlamat industri.
“Pertandingan Hackathon ini juga merupakan peluang terbaik bagi bakat-bakat muda di Malaysia untuk meneliti peluang yang lebih besar untuk membangunkan teknologi industri penerbangan dan aeroangkasa, termasuklah dari segi kecerdasan buatan, analisis data dan teknologi Internet Benda (IoT). Selama maju jaya kepada semua.”
Aviatar 2019 dianjurkan oleh AirAsia bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC), dan Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis (GIFAS), serta Universiti Nottingham Malaysia, Invest Selangor, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO).