Program vaksinasi, peningkatan permintaan perjalanan, transformasi digital pacu masa depan AirAsia
Saya melihat masa depan yang cerah kata Tan Sri Tony Fernandes, yang menerima vaksin pada hari ini
SEPANG, 11 Mei 2021 - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes terus yakin bahawa AirAsia dan syarikat penerbangan lain di dunia akan kembali lebih kuat, berikutan program vaksinasi yang giat dijalankan dan peningkatan permintaan perjalanan.
Tan Sri Tony Fernandes, yang menerima suntikan pertama vaksin beliau pada hari ini di Malaysia, berkata: “Untuk melihat keberkesanan vaksin, lihatlah negara-negara yang meneraju program vaksinasi Covid-19, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel, di mana ada bukti yang jelas antara penurunan kes harian dan program vaksinasi yang dilancarkan secepat mungkin.”
“Pelancaran program vaksinasi dan peningkatan permintaan akan mendorong pemulihan berbentuk-V dalam beberapa bulan akan datang. Menurut IATA, pemulihan pesat dalam perjalanan udara domestik dijangka melepasi 2019 menjelang 2022 diterajui oleh Asia Pasifik.”
Pandangan ini turut dikongsi dalam laporan baru-baru ini oleh Rothschild and Co* yang menyimpulkan bahawa sentimen perjalanan akan melonjak berikutan usaha program vaksinasi dan peningkatan permintaan perjalanan, seterusnya mendorong pemulihan di pasaran domestik utama di Asia-Pasifik pada separuh kedua tahun 2021. Laporan ini juga berdasarkan trafik laman web syarikat-syarikat penerbangan utama dan laman web perjalanan yang menunjukkan peningkatan trafik untuk negara-negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Saya baru sahaja menerima vaksin pada hari ini dan sejumlah Allstars di semua pasaran utama kami telah divaksinasi atau mendaftar untuk mendapatkannya secepat mungkin. Apa yang penting, di semua pasaran utama operasi kami, program vaksinasi berada di landasan yang tepat untuk menjadikan sebahagian besar penduduk divaksin menjelang akhir tahun ini yang merupakan petanda baik untuk masa depan AirAsia Group.”
“Di Malaysia, walaupun kita melihat gelombang baharu, ini adalah cabaran jangka pendek untuk pemulihan jangka panjang. Keadaan akan menjadi lebih baik dan ini telah terbukti di negara-negara dengan program vaksinasi tertinggi. Walaupun negara-negara Asean kini berada di tahap awal vaksinasi, pihak berkuasa komited untuk memenuhi sasaran vaksinasi mereka kepada majoriti penduduknya pada akhir tahun ini.
“Gelembung perjalanan juga dijangka akan menyokong pemulihan pesat dalam industri perjalanan ke negara-negara dengan kadar vaksinasi tinggi dan yang telah berjaya mengendalikan virus tersebut. Pakar-pakar penyakit berjangkit global turut meramalkan coronavirus dapat dirawat seperti selsema pada masa hadapan.”
Beliau juga menjelaskan bahawa AirAsia telah menggunakan waktu ini sebagai peluang untuk mengurangkan lagi struktur kos syarikat dan fokus pada kawalan kos yang ketat termasuk menutup operasi yang merugikan seperti AirAsia Japan dan mengurangkan pelaburannya dalam AirAsia India untuk memberi tumpuan kepada Asean, di mana jenama dan syarikatnya lebih kukuh. Strategi rangkaian dan pesawat juga telah dikaji secara menyeluruh untuk memastikan penerbangan dilakukan di laluan paling popular dan menguntungkan apabila sekatan perjalanan dibuka.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan, saya yakin bahawa AirAsia akan pulih lebih cepat daripada pesaing-pesaing kami, kerana lebih daripada 50% perniagaan kami adalah pasaran domestik, yang akan pulih sebelum perjalanan antarabangsa atau perjalanan perniagaan. Penerbangan domestik jarak pendek dengan tambang rendah dijangka akan pulih pada suku ketiga 2021, dan perjalanan antarabangsa dijangka akan mencapai tahap pra-Covid-19 pada akhir 2022. Dengan peningkatan pengenalan dan penggunaan pasport perjalanan digital dan pasport vaksin, perjalanan juga akan dipermudahkan dan lebih selamat dalam keadaan semasa.
“Sebagai sebuah syarikat, kami tidak mensia-siakan krisis ini - sebaliknya menggunakan masa penggantungan 245 buah pesawat kami untuk menyusun strategi dan mempelbagaikan perniagaan kami, dan memacu perniagaan digital kami yang bermula sebelum Covid-19. Kami kini mempunyai dua perniagaan utama - syarikat penerbangan dan digital. Perniagaan e-dagang dan logistik adalah masa depan kami.
“Kini kami memiliki 17 produk perjalanan, gaya hidup, dan teknologi kewangan di aplikasi super kami, yang menawarkan lebih nilai dan pilihan untuk makanan, membeli-belah, destinasi penerbangan, penginapan dan banyak lagi dengan harga terendah semuanya di hujung jari menerusi aplikasi mudah alih. Dengan kekuatan data, rangkaian dan teknologi, perniagaan bukan syarikat penerbangan kami telah menjana pendapatan dan saya yakin pendapatan mereka akan mengatasi syarikat penerbangan dalam masa beberapa tahun lagi.”
“Pengakhiran pandemik ini kini lebih jelas. Bukan jika tetapi bila. Para juruterbang dan kru kabin kami bersedia untuk kembali terbang dan kami juga bersedia dari segi operasi dengan inovasi baharu untuk memastikan pengalaman penerbangan yang lancar dengan AirAsia. Selain itu, kami juga akan memastikan ia selamat dan berpatutan, serta lebih bersih dengan teknologi tanpa sentuhan. Kami turut mempunyai versi pasport digital sendiri iaitu Scan2Fly, di mana para tetamu dapat mengimbas dokumentas perubatan yang diperlukan dan mengesahkannya dalam masa nyata sebelum menuju ke lapangan terbang dan kami juga bakal melancarkan teknologi pengecaman wajah di lapangan terbang utama kami dalam beberapa bulan akan datang. Kami mengalu-alukan kelulusan pasport kesihatan digital yang diiktiraf secara global, dan sistem kami dapat diintegrasikan ke dalam kebanyakan sistem lain seperti pasport digital IATA yang sedang diuji.
“Dari segi dana pula, AirAsia telah menyelesaikan dua tahap latihan penempatan swasta dan mengumpulkan RM336 juta yang merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan kami untuk mengumpul antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion. Pada bulan lepas, AirAsia Thailand mengumumkan skim penyusunan semula korporat dan modal yang memerlukan modal baharu hingga Bt5.9 bilion.
“Dalam tempoh krisis, hanya yang kuat akan bertahan. Kami telah menghadapi pelbagai krisis sebelum ini dan selalu kembali dengan lebih kuat. Kali ini tiada bezanya dan AirAsia akan kembali daripada pandemik ini dengan lebih kukuh.
“Saya percaya detik yang terbaik akan tiba nanti,” tambah beliau.
*Laporan ini mengumpulkan pandangan dan kemas kini daripada ‘IATA Economics Airline Industry Financial Forecast update, Moody's and major brokers.’