Seramai 95% tetamu AirAsia kini daftar masuk kendiri melalui aplikasi dan laman web
• Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter akan beroperasi secara terhad di Malaysia mulai 1 April 2022 untuk mempercepatkan penggunaan perkhidmatan daftar masuk kendiri
• Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter terus tersedia untuk tetamu tertentu
SEPANG, 25 Februari 2022 - AirAsia menyifatkan satu pencapaian besar apabila 95% daripada keseluruhan tetamunya kini beralih untuk mendaftar masuk melalui airasia Super App dan laman web, satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata: “Pencapaian ini diraih melalui penambahbaikan pada sistem kami serta para tetamu yang menggunakannya. Daftar masuk untuk penerbangan melalui airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan boleh dilakukan dengan hanya beberapa langkah mudah. Ianya membolehkan para tetamu menambah bagasi, hidangan dalam penerbangan, insurans perjalanan dan memilih tempat duduk mereka. Mereka juga boleh mendaftar masuk untuk penerbangan mereka seawal 14 hari sebelum tarikh pelepasan.
“Setelah selesai mendaftar masuk, mereka akan menerima pas masuk elektronik dalam aplikasi tersebut yang boleh digunakan untuk menaiki penerbangan mereka. Mereka juga akan menerima kod QR yang boleh digunakan untuk mencetak tag bagasi di kiosk tanpa sentuhan di lapangan terbang sebelum mendaftar masuk bagasi secara kendiri. Para tetamu tanpa bagasi daftar masuk pula boleh terus ke pintu pelepasan dengan mengemukakan pas masuk elektronik dan kad pengenalan atau pasport mereka. Bagi tetamu dengan tempahan perjalanan berkumpulan, mereka boleh mendaftar masuk bagi pihak ahli kumpulan yang lain.
“Sebagai usaha berterusan untuk mencapai penggunaan 100% bagi inisiatif tanpa sentuhan kami, AirAsia akan meneruskan kempen kesedaran dan pendidikan mengenai faedah daftar masuk kendiri dan penggunaan airasia Super App melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial, mel elektronik dan pengumuman melalui aplikasi tersebut. Para tetamu yang selalunya menggunakan laman web untuk mendaftar masuk juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi tersebut untuk menikmati lebih kemudahan termasuk perkhidmatan dalam penerbangan dan sambungan wifi dalam penerbangan kami.”
Penggunaan airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan ia boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery tanpa sebarang kos.
Dalam masa yang sama, AirAsia akan mengehadkan perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 April 2022.
Dengan penutupan perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter secara beransur-ansur, tiada caj daftar masuk melalui kaunter akan dikenakan mulai 1 April 2022 kerana hanya tetamu yang layak dalam kategori berikut akan diterima di kaunter:
• Warga emas berusia 70 tahun ke atas
• Tempahan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan melalui Waran Kerajaan
• Tetamu penerbangan sewa khas
• Tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah
• Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih
• Tetamu perseorangan bawah umur (12-16 tahun)
• Tetamu yang terjejas akibat perubahan jadual dan pembatalan penerbangan
• Tetamu yang terjejas akibat gangguan sistem airasia Super App, laman web atau kiosk
• Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri
• Tetamu Corporate Full Flex dan Premium Flex
AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama dua tahun lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya. AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.
Semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat. AirAsia juga telah menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan sahaja pesawat AirAsia tetapi juga pesawat dari syarikat penerbangan lain. Selain itu, semua juruterbang dan kru kabinnya juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.
AirAsia baru-baru ini telah dianugerahkan tahap tertinggi dalam keselamatan dan integriti operasi dengan pengiktirafan 7/7 daripada pakar penerbangan di airlineratings.com sekali lagi sama seperti pengiktirafan yang dianugerahkan kepada syarikat penerbangan ini pada kemuncak pandemik pada tahun 2020.