Tony Fernandes diiktiraf Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Negara

Kenyataan Gambar: (Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bersama Bekas Perdana Menteri Thailand, Jeneral Chavalit Yongchaiyudth, Pengerusi Institut Pembangunan Negara Antarabangsa (NBII) Prof. Dr. Kriengsak Chare…

Kenyataan Gambar: (Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bersama Bekas Perdana Menteri Thailand, Jeneral Chavalit Yongchaiyudth, Pengerusi Institut Pembangunan Negara Antarabangsa (NBII) Prof. Dr. Kriengsak Chareonwongsak dan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR, 28 November 2019 - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes telah diiktiraf Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Negara (Sektor Swasta) di Anugerah Pembangunan Negara dan Penentu Dunia 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur pada hari Selasa.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Bekas Perdana Menteri Thailand, Jeneral Chavalit Yongchaiyudth kepada Tan Sri Tony Fernandes di majlis tersebut. Turut hadir adalah Pengerusi Institut Pembangunan Negara Antarabangsa (NBII) Prof. Dr. Kriengsak Chareonwongsak.

Pemenang-pemenang anugerah tersebut telah dipilih melalui Jawatankuasa Pemilihan Antarabangsa yang terdiri daripada 14 tokoh terkenal antarabangsa dan kriteria penilaian untuk Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat termasuklah faktor-faktor seperti prinsip yang diketengahkan, impak, sumbangan, inovasi, bakti dan kelestarian. 

Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Saya amat berbesar hati dan turut merasa rendah diri untuk menerima anugerah ini. Di AirAsia, agenda pembangunan negara adalah teras kepada perniagaan kami di mana sahaja kami beroperasi. Di Malaysia, Wawasan Kemakmuran Bersama yang disokong oleh kerajaan bukan sesuatu yang baharu bagi kami, kerana ia sebenarnya bermula dan dicipta seiring dengan pembangunan kami sejak 18 tahun yang lepas. Kami telah menghubungkan negara ini dengan lebih dekat kerana kini semua orang boleh terbang. Malah, dua pertiga daripada rakyat Malaysia telah melakukan penerbangan sama ada untuk tujuan pelancongan, perdagangan, pendidikan, bantuan kemanusiaan dan lain-lain, secara domestik dan antarabangsa. Sebelum AirAsia, hanya segelintir rakyat Malaysia yang boleh melakukan penerbangan, sementara bagi kebanyakan mereka yang lain penerbangan hanya sebuah impian.

“Sebagai majikan, kami menganggarkan 78 peratus daripada 12,000 kakitangan Allstars kami di Malaysia adalah dari latar belakang B40. Dengan menyediakan mereka peluang berterusan untuk berjaya dan menyahut cabaran baharu, kami amat berbangga dengan pelbagai kisah kejayaan termasuklah mempunyai peratusan tertinggi juruterbang wanita dan jurutera di rantau ini, bukti terhadap komitmen kami dalam menawarkan keadilan, kepelbagaian dan kelestarian dalam syarikat ini. Kesannya menjangkaui perniagaan, kakitangan dan keluarga mereka kerana ia turut memanfaatkan keseluruhan industri pelancongan dan ekonomi di seluruh rantau ini di mana kami beroperasi secara menyeluruh.”

Antara penerima anugerah utama yang lain adalah Tun Dr. Siti Hasmah yang merangkul Anugerah Pembangunan Negara Wanita.

Anugerah Pembangunan Negara dan Penentu Dunia merupakan sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa bagi Pembangunan Negara 2019 yang diadakan selama dua hari dengan tema ‘Menghubungkan Kerajaan, Perniagaan dan Masyarakat Sivil ke arah Pembangunan Pendapatan Tinggi Negara’, yang dianjurkan oleh Institut Pembangunan Negara Antarabangsa yang bertempat di Bangkok dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Pusat Penyelidikan, Penasihat dan Teknologi (CREATE).

Malaysia, News, EnglishM AKuala Lumpur