AirAsia satukan semula tiga Allstar bertuah bersama keluarga mereka sempena Aidilfitri
Suasana mengharukan memenuhi ruang apabila tiga Allstar bersatu semula bersama keluarga mereka ketika Majlis Berbuka Puasa & Solat Tarawih yang diadakan di ibu pejabat AirAsia, RedQ pada 21 April 2022 yang lalu.
Kejutan tersebut telah dianjurkan oleh pasukan AirAsia dan The Chow Kit (an Ormond Hotel) sempena sambutan Hari Raya. Afiq Khairi, serta adik-beradik Amir Akhtar Mazlan dan Sakinah Mazlan yang semuanya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah tidak berpeluang untuk bertemu keluarga mereka selama dua tahun berikutan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19. Justeru, pasukan penganjur telah bertungkus-lumus merancang setiap perincian untuk menyatukan mereka semula seperti melawat ke kampung halaman Afiq, Amir dan Sakinah di Sabah dan bertemu keluarga mereka.
Ketika mereka dihubungi dan diberitahu mengenai kejutan ini, ibu bapa mereka memberitahu bahawa mereka berasa tidak percaya dan pada awalnya menyangka mereka bermimpi – kerana tidak pernah membayangkan akan diberi peluang untuk melawat keluarga mereka di Kuala Lumpur dan berbuka puasa bersama.
Kedua-kedua buah keluarga telah terbang ke Kuala Lumpur pada 20 April dan bermalam di hotel The Chow Kit. Pada keesokan harinya, mereka telah dibawa ke RedQ dengan menggunakan airasia ride, iaitu perkhidmatan e-panggilan Capital A untuk menyertai acara tahunan Majlis Berbuka Puasa & Solat Tarawih AirAsia yang turut dihadiri oleh pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam Asy Syaafie (MATIS) dan Pusat Tahfiz al-Qur’an & al-Hadith Dar al-Maliki.
Menjelang kejutan itu, ketiga-tiga Allstar bertuah tersebut telah dipanggil ke pentas oleh Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun bagi menerima ‘hadiah istimewa’ yang amat menyentuh hati mereka. Tidak dinafikan, melihat ibu bapa mereka berjalan ke arah mereka merupakan saat mengharukan dan penuh emosi buat Afiq, Amir dan Sakinah. Air mata, senyuman dan gelak tawa dikongsi ketika keluarga itu disatukan setelah sekian lama berjauhan.
Dengan linangan air mata kegembiraan, ibu Afiq, Siti Aisah berkata: “Dia merupakan anak bongsu dan sangat rapat dengan saya. Sudah lebih setahun sejak kali terakhir saya bertemu dengan anak lelaki saya ini dan apabila saya mendapat panggilan daripada AirAsia, saya berasa sangat terharu,” manakala bapanya Juarah Bin Asoi pula menambah, “Sudah lama kami tidak berkumpul untuk berbuka puasa bersama dan perasaan gembira ini tidak dapat digambarkan.”
Penuh emosi, Afiq, Penolong Pegawai Keselamatan AirAsia berkata: “Ia benar-benar satu kejutan yang mengharukan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada rakan-rakan Allstar yang membantu untuk merancang perjumpaan semula ini. Saya amat gembira dan bersyukur kerana saya dapat berbuka puasa dengan ibu bapa saya pada hari ini.”
Bagi ibu bapa Amir dan Sakinah pula, ia adalah kegembiraan berganda. Mereka merupakan anak pertama dan kedua daripada lima orang adik-beradik dan amat dirindui oleh keluarga mereka – terutamanya di musim perayaan ini.
Ibu mereka, Alinah Awang Julai berkata: “Amir jarang mendapat cuti untuk menghabiskan masa bersama kami, dan saya juga tidak pasti sama ada saya akan berjumpa Sakinah pada tahun ini. Kenangan ini adalah sangat berharga buat kami. Keluarga saya amat bersyukur.”
Sebagai kru kabin AirAsia, Amir dan Sakinah terbang ke seluruh rantau ini; tetapi peluang untuk balik ke kampung halaman adalah terhad memandangkan tugasan mereka yang panjang dan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berturut-turut yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia berikutan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
“Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku dan apabila saya melihat kedua ibu bapa saya dari jauh, saya mengambil sedikit masa untuk menyedari bahawa mereka sebenarnya berada di sini!” kata Sakinah penuh teruja.
Bersama tetamu jemputan yang lain, mereka menjamu selera dan diikuti dengan sesi Tarawih di RedQ. Kenangan itu akan selamanya terpahat di hati Afiq, Amir, Sakinah serta keluarga mereka.
Tonton video penuh penyatuan semula ini di bawah:
AirAsia amat menghargai semua Allstar yang telah bekerja keras selama ini dan menyatukan mereka semula dengan orang tersayang sempena Hari Raya adalah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Terima kasih kepada The Chow Kit dan airasia ride kerana bersama-sama menjayakan kejutan ini buat keluarga Afiq, Amir dan Sakinah selama tiga hari mereka berada di Kuala Lumpur.