Kempen #GirlsCanDoAnything AirAsia Memperkasa Wanita

111017 - 2.jpg

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia terus berusaha untuk memperkasakan gadis-gadis remaja melalui kempen #GirlsCanDoAnything. Seramai 30 pelajar jurusan kejuruteraan dari Kolej 11, Universiti Putra Malaysia dijemput untuk menghadiri sesi perkongsian bersama kakitangan AirAsia sempena karnival ulang tahun ke-10 majalah travel3Sixty° di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Objektif utama sesi perkongsian tersebut adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar mengenai dunia penerbangan, serta untuk mendidik dan menyokong mereka untuk menggapai cita-cita mereka. Tiga kakitangan AirAsia, juga dikenali sebagai Allstars - Pegawai Kanan Pertama, Jessica Lee Suk Jin, Jurutera Pesawat Berlesen, Nur Husnina Binti Ismail dan Eksekutif Tugas Kru, Nurul Aishah Binti Mohd Jafri berkongsi mengenai perjalanan kerjaya mereka kepada para hadirin.

Menerusi sesi itu, para pelajar didedahkan kepada industri penerbangan dengan lebih lanjut dan nasihat yang berguna untuk kerjaya mereka di masa akan datang. Di samping itu, mereka juga mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti yang menyeronokkan di karnival tersebut dan pulang dengan pelbagai hadiah menarik.

Bermula pada tahun 2016, kempen #GirlsCanDoAnything merupakan satu inisiatif untuk memperkasakan wanita yang dianjurkan oleh AirAsia untuk memberi inspirasi kepada golongan belia wanita dalam merealisasikan impian mereka. Diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Cik Aireen Omar, kempen ini menampilkan kakitangan wanita AirAsia daripada pelbagai jabatan dan jawatan sebagai contoh bahawa wanita boleh melakukan apa sahaja. Sehingga hari ini, kempen tersebut telah memberi inspirasi kepada lebih 500 gadis belia dan juga disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).