AirAsia Terima Anugerah Perak untuk ‘Komunikasi Aktiviti Kebajikan Terbaik’ di Asia Tenggara untuk kempen kesedaran kanser #AirAsiaMAKNA

#AirAsiaMAKNA.jpg

SINGAPURA, 24 Mac 2017 - Usaha AirAsia dalam membantu pesakit kanser yang kurang bernasib baik di Malaysia telah diiktiraf dengan anugerah Perak bagi kategori 'Komunikasi Aktiviti Kebajikan Terbaik' di majlis anugerah berprestij MARKETING PR Awards 2017 yang diadakan di Singapura semalam.

Anugerah MARKETING PR Awards 2017 meraikan kecemerlangan dalam komunikasi strategik dan perhubungan awam di seluruh Asia Tenggara. Di bawah kategori aktiviti kebajikan, kempen '#AirAsiaMAKNA - A Change Little Goes A Long Way' diakui tampil unggul kerana memperjuangkan kesedaran kanser dikalangan masyarakat selain menjadi sebuah organisasi yang bertanggungjawab dengan komuniti.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia berkata, "#AirAsiaMAKNA bukanlah sekadar satu kempen. Ia adalah komitmen jangka masa panjang kami dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Matlamat kami untuk projek ini bukan sahaja untuk terus menambah kesedaran tentang kanser tetapi pada masa yang sama membantu pesakit yang memerlukan dengan mengumpul dana."

AirAsia dan MAKNA bergabung tenaga dalam memerangi kanser dengan melancarkan kempen #AirAsiaMAKNA pada tahun 2015. Sejak penubuhannya, AirAsia telah berjaya mengumpul dan menderma lebih daripada RM650,000 melalui penjualan t-shirt, Kempen Perjalanan Beruang dan pengumpulan dana 10-sen bagi setiap pembelian penerbangan airasia.

AirAsia turut menerima Anugerah Emas untuk kategori Media Sosial dan Anugerah Perak bagi kategori Kebajikan pada tahun lepas di Anugerah Kecemerlangan Pemasaran untuk Kempen Perjalanan Beruang, satu projek kerjasama dengan Media Prima, yang membantu mewujudkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak di Malaysia dan mengumpul dana untuk MAKNA.

Untuk maklumat lanjut dan untuk mengetahui bagaimana untuk menyumbang, sila layari laman makna.org.my.